HIBURAN
“Ini Sumbangan Saya” – Luqman Hafidz Harap Ola Bola Dapat Pupuk Semangat Cintakan Negara
Pelakon Luqman Hafidz berharap generasi masa kini dapat memupuk semangat cintakan negara selepas menonton teater Ola Bola The Musical.
Menurut Luqman, ini merupakan salah cara yang dilakukan untuk memberikan sumbangan kepada negara.
“Ola Bola ini sudah boleh diibaratkan sebagai rumah kedua saya. Saya anggap ini sebagai salah satu sumbangan saya kepada negara.
“Nak beri sumbangan lain saya tak mampu jadi ini antara sumbangan yang diberikan. Saya harap semoga apa yang saya ceritakan dan sampaikan bersama rakan-rakan dalam Ola Bola ini dirasai oleh rakyat Malaysia.
“Saya juga harap selepas menonton Ola Bola ini, semangat cintakan negara dapat disemai pada generasi baru,” katanya.
Luqman berkata demikian ketika ditemui Gempak selepas sesi terakhir latihan Ola Bola The Muzikal yang berlangsung baru-baru ini.
Mengulas mengenai lakonannya, Luqman berkata dia banyak belajar untuk memperbaiki lakonannya menerusi penerbit dan pengarah muzikal itu sendiri iaitu Puan Sri Tiara Jacquelina.
“Saya tidak lupa semua nasihat diberikan oleh Puan Sri Tiara yang banyak membantu untuk memperbaiki lakonan saya.
“Selain itu saya juga banyak belajar dengan kawan-kawan dalam teater ini, boleh dikatakan hampir setiap hari belajar benda-benda baru,” ujarnya.
Dalam perkembangan terbaru, Luqman bakal membuat persiapan untuk menjalani penggambaran filem terbaru yang berkisarkan tentang semangat cintakan negara.
Selain itu, drama terbaru Luqman berjudul Dia Yang Ku Cinta bakal menemui penonton pada September ini.
Ola Bola The Musical bakal menemui penonton secara percuma di empat buah negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Pahang.
Ola Bola Merdeka Tour bakal dipentaskan di:
Pulau Pinang (Majestic Theatre) - 31 Ogos 2019
Kuching Sarawak (Stadium Perpaduan Kuching) - 6 hingga 8 September 2019
Sabah (Kompleks JKKN Sabah) - 16 September 2019
Kuantan, Pahang (Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang) - 21 September 2019
Untuk maklumat lanjut mengenai Ola Bola Merdeka Tour, sila layari laman web www.olabolamusical.com dan sosial media @enfinitimy.
Must-Watch Video