HIBURAN
"Kalau Bukan Sebab Nana, Mungkin Saya Tak Terima..." - Khai Bahar Bakal Bintangi Drama Bersiri!
Penyanyi popular, Khai Bahar bakal muncul dalam sebuah drama bersiri yang akan ditayangkan di saluran Astro tidak lama lagi.
Menurut Khai, dia menerima tawaran untuk berlakon dalam drama tersebut kerana bakal digandingkan dengan rakan seperjuangan yang sudah dikenali dengan rapat iaitu Siti Nordiana.
"Saya menerima tawaran itu kerana saya akan digandingkan dengan Siti Nordiana (Nana), kami sudah mengenali antara satu sama lain dan berteman rapat, jadi akan ada keselesaan di situ.
"Kalau bukan sebab Nana, mungkin saya tak terima tawaran tersebut memandangkan saya bukanlah pelakon hebat sebelum ini," katanya.
Khai berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran album sulungnya yang berjudul Air Mata di One Utama Shopping Centre pada Rabu.
Album tersebut memuatkan 11 buah lagu, tiga daripadanya merupakan ciptaan Khai sendiri.
Dalam pada itu, Khai menambah, proses penggambaran drama bersiri yang masih belum diberi tajuk itu akan bermula pada hujung bulan ini.
"Insya-Allah, proses penggambaran drama bersiri itu akan bermula pada hujung bulan Ogos ini, setakat ini ia masih belum diberi tajuk.
"Saya juga akan menghadiri kelas lakonan sebagai langkah persediaan sebelum bergelar pelakon utama buat pertama kali," ujarnya.
Buat peminat Khai, Album sulungnya itu dijual dengan harga RM32.90 dan hanya boleh didapati melalui wakil-wakil NAR Records sahaja atau di akaun rasmi mereka. Unit adalah terhad dan eksklusif, sebarang pertanyaan mengenai album, sila hubungi 01123308086.
Must-Watch Video