HIBURAN
Kes Cikgu Baling Buku Terkena Muka Anak Saudara, Eyra Hazli Buat Laporan Polis
Pelakon Eyra Hazali mengakui tindakan seorang guru membaling buku terhadap anak saudaranya, Iqie telah mencetuskan kemarahan kepada dirinya.
Menurut Eyra, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku kepada ahli keluarganya.
"Awal-awal, saya agak terkejut walaupun sebenarnya semua orang pernah kena 'pukul' dengan guru.
"Namun, senjata yang boleh digunakan adalah rotan ataupun murid bermasalah dikenakan denda .
"Tetapi, bukanlah tahap membaling buku yang telah menyebabkan kecederaan di bahagian muka anak saudara saya.
"Tindakan itu mencetuskan kemarahan saya kerana tidak pernah lagi terjadi kepada mana-mana ahli keluarga saya," katanya kepada Gempak.
Eyra ditemui di Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
Tambah pelakon utama drama Mr. Grey ini, laporan polis tetap dilakukan sebagai pengajaran kepada guru tersebut.
"Alhamdulillah guru terbabit sudah memohon maaf tetapi kami tetap membuat laporan polis supaya guru itu tidak lagi mengulangi perkara yang sama.
"Walaupun sebenarnya guru itu ingin membaling buku kepada pelajar lain, tetapi perkara itu tetap tidak sepatutnya berlaku.
"Ia telah menyebabkan trauma terhadap anak saudara saya serta pelajar-pelajar lain," katanya lagi.
Terdahulu, Eyra telah mempersoalkan hak seorang guru yang cuba menghukum anak muridnya sehingga menyebabkan kecederaan menerusi laman Twitter miliknya.
Pada malam AME2019, Eyra berjaya merangkul sebuah trofi menerusi kategori Artis Baharu MeleTOP.
AME2019 dihoskan oleh Neelofa, Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu telah berlangsung dengan meriah.
AME2019 menobatkan Khai Bahar dan Siti Nordiana sebagai pemenang Top Top MeleTOP Lelaki & Wanita pada edisi penganjuran kali ini.
Bertemakan Glam, AME 2019 bersiaran secara langsung pada jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Ria HD (123) dan Maya HD (134).
Must-Watch Video