Sekilas
- Amitabh Bachchan kini menyapa peminat di luar kediamannya di Mumbai dari dalam ruang kaca kalis peluru selepas menerima ancaman bom melalui e-mel.
- Langkah keselamatan ini diambil susulan insiden tembakan terhadap pelakon Tiger Shroff dan ancaman yang mensasarkan kediaman Bachchan.
- Bachchan yang berusia 84 tahun turut mengalami kecederaan lutut selepas terjatuh ketika penggambaran Kaun Banega Crorepati 18, menyebabkan aktiviti beliau berkurangan.
Industri hiburan Bollywood memang penuh ‘warna’ dan kisah yang tidak ubah seperti dipaparkan dalam kebanyakan filem-filem mereka. Salah satunya adalah aksi jenayah yang sering menjadi naratif penceritaan.
Namun ternyata ia bukan hanya kisah yang terjadi di layar lebar tetapi juga dalam kehidupan seharian para karyawan mereka.
Terkini, pesohor legenda Amitabh Bachchan dilihat tampil menyapa peminat di luar kediamannya yang dikenali sebagai Jalsa di Mumbai, India, dengan pendekatan yang agak berbeza.
Bachchan dilihat tampil menyapa peminat yang berkumpul di luar kediamannya di sebalik penghadang kaca kalis peluru.
Langkah keselamatan yang ketat itu diambil selepas menerima ancaman bom menerusi e-mel yang diterima dari sebuah sekolah di kawasan Bandra-Kurla Complex (BKC), Mumbai pada akhir Oktober lalu. Ancaman tersebut mensasarkan kediaman Bachchan, lapor Times of India.
Untuk rekod, ‘pertemuan’ bintang berusia 84 tahun itu dengan para peminatnya pada setiap hujung minggu sudah diamalkan sejak 42 tahun lalu. Namun, selepas menerima ancaman, beliau dilihat berada di dalam ruang kaca seperti akuarium.
Meski demikian, Bachchan tetap santun menyapa peminat dengan anak lelakinya, Abhishek Bachchan turut berada di sisi dan mengiringi bapanya sepanjang sesi berkenaan.
Penggunaan penghadang kaca kalis peluru itu juga dipercayai sebagai langkah berjaga-jaga susulan insiden tembakan pelakon Tiger Shroff pada 18 Oktober lalu.
Saat ini, Bachchan memang tidak banyak melakukan aktiviti selepas selepas mendedahkan mengalami kecederaan pada lutut kiri selepas tergelincir dan terjatuh ketika menjalani penggambaran program popular, Kaun Banega Crorepati 18.
Menurutnya, kecederaan tersebut menyebabkan dirinya sukar berdiri ketika menyampaikan segmen monolog pembukaan yang menjadi kebiasaannya dalam program berkenaan.