Kerajaan memutuskan untuk mengenakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi kawasan Tawau, Sabah bermula 3 April sehingga 16 April.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira status kes COVID-19 serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Tawau, Sabah bermula 3 April sehingga 16 April 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, usaha itu diambil bagi memudahkan proses saringan secara bersasar khususnya di kawasan positif termasuk mengawal pergerakan keluar masuk penduduk.

Sementara itu, kerajaan juga telah memutuskan Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan Sabah dikenakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut Ismail Sabri, sebanyak 290 ujian saringan dibuat dan daripada itu seramai 33 individu didapati positif COVID-19.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah bermula 3 April sehingga 16 April 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes-kes disyaki COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya lagi.

Sementara itu status terkini bagi kes baharu Covid-19 bagi 2 April 2021 adalah seperti berikut:

A post shared by Kementerian Kesihatan Malaysia (@kementeriankesihatanmalaysia)