Berita
5 Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton Filem Mulut Masin
Tinggal sehari sahaja lagi sebelum bermulanya tayangan filem Mulut Masin yang bakal menemui penonton esok.
Ternyata, selepas menonton trailer, ramai yang yang sudah mula tidak sabar menantikan filem yang mengangkat gabungan genre keluarga, komedi dan seram itu.
Apa yang pasti, filem arahan Razaisyam Rashid ini menjanjikan sebuah jalan cerita yang cukup dekat dengan kehidupan masyarakat kita.
Justeru, Gempak kongsikan lima sebab kenapa anda perlu tonton filem Mulut Masin di pawagam rumah anda, Astro First bermula 19 November ini:
#1 Pengarah prolifik
Naskhah terbitan Astro Shaw ini menggunakan khidmat pengarah prolifik, Razaisyam Rashid.
Banyak naskhah arahannya sebelum ini yang mendapat tempat di hati penonton termasuklah filem yang pernah mendapat kutipan pecah panggung, Pusaka yang mendapat sentuhannya.
Cuma, istimewanya, kali ini, Mulut Masin bakal menjadi satu lagi portfolio baharu Razaisyam apabila mengarahkan filem kanak-kanak buat pertama kali.
#2 Kisah kepercayaan masyarakat
Bukan sekadar hiburan kosong semata-mata, tetapi Mulut Masin mengangkat kisah kepercayaan masyarakat dalam kalangan orang Melayu khususnya.
Orang tua dahulu sering mengingatkan agar kita sentiasa menjaga tutur kata dalam percakapan seharian.
Hal ini kerana, ada yang percaya kejadian sesuatu perkara itu mungkin disebabkan oleh apa yang dilontarkan daripada mulut seseorang itu sendiri.
Dengan erti kata lain istilah mulut masin. Sampaikan ada yang takut untuk berkata-kata akan hal yang boleh mengundang nasib yang kurang baik.
#3 Kanak-kanak jadi pelakon utama
Lupakan seketika wajah pelakon popular yang sering menghiasi poster, kali ini, Mulut Masin mengangkat barisan pelakon kanak-kanak sebagai teraju utama.
Menampilkan empat pelakon cilik berbakat besar, Mulut Masin dijayakan oleh Jay Nazif, Danish Hazriq, Muzzayyin Mahyuddin dan Cassia Iman selain As'ad Motawh yang turut diangkat sebagai pendukung utama.
Bahkan, gelagat kesemua mereka itu turut dimeriahkan dengan kehadiran aktor berpengelaman, Lan Pet Pet, Datin Maria Farida, Farahdhiya, Aloy Paradoks, Khatijah Tan dan ramai lagi.
#4 Imbau zaman kanak-kanak
Mereka yang menonton filem ini pasti akan mengimbau zaman ketika kanak-kanak.
Pelbagai ragam dan kerenah lebih-lebih lagi setiap kali pulang bertemu dengan sanak saudara di kampung.
Pasti teringat akan momen-momen nakal yang pernah dilakukan setiap kali berkumpul.
#5 Perkasa tulisan jawi
Mungkin ada antara kita yang lama tidak menulis dan membaca tulisan jawi.
Bagaimanapun, dalam filem Mulut Masin ini antara elemen yang cuba ditonjolkan adalah penulisan jawi yang pernah menjadi identiti orang Melayu suatu ketika dulu.
Perkara itu dapat dilihat menerusi beberapa paparan babak dalam Mulut Masin berkaitan wasiat yang ditinggalkan oleh arwah nenek mereka.
Bahkan, baju yang dipakai oleh pelakon utamanya, Jay Nazif juga turut memaparkan tulisan jawi.
Jadi, jangan lupa saksikan Mulut Masin bermula 19 November di pawagam rumah anda!
Naskhah tersebut boleh ditonton menerusi Astro First (saluran 480) selain pilihan yang lebih fleksibel menerusi strim di Astro GO atau On Demand.
Dengan langganan serendah RM15, penonton berpeluang menonton berulang kali dalam tempoh 48 jam.
Must-Watch Video