READ
5 Tabiat Perlu Elak Kala Memandu, Salah Satunya Sering Terjadi — Ini Peringatan Penting!
Oleh: Norhaizan Ahmad
SELAIN daripada tahap kualiti kereta, kaedah pemanduan turut memberi kesan pada ketahanan sesebuah kenderaan. InTrend mahu berkongsi beberapa tabiat ‘buruk’ memandu yang boleh menyebabkan prestasi kereta InTrenders jatuh merudum ataupun mengalami kerosakan, dan natijahnya kereta perlu dibaiki dan mungkin tersadai di bengkel beberapa bulan.
5 TABIAT PERLU INTRENDERS ELAKKAN KALA MEMANDU
1. Tangki Minyak Hampir Kosong
Segelintir pemandu ada tabiat memandu dalam keadaan indikator minyak berkelip atau tangki minyak hampir kosong. Apa yang anda tidak tahu amalan mengekalkan isian minyak dalam tangki mampu mengelak kerosakan terhadap sistem bahan api kereta.
Kebanyakan pam minyak kekal sejuk apabila terendam dalam bahan api dalam tangki. Jadi, jika anda kerap memandu kereta dalam keadaan minyak kurang suku daripada kapasiti tangki, kereta anda berisiko menyebabkan kerosakan pam minyak.
Biasakan diri menambah isian minyak apabila indikator bahan api menunjukkan baki dua bar atau suku tangki.
2. Abaikan Brek Tangan
Walaupun anda memakir kenderaan atas permukaan rata, tiada alasan untuk anda tidak menggunakan brek tangan. Tidak menggunakan brek tangan menyebabkan berat keseluruhan kenderaan bertumpu kepada logam dalam transmisi dipanggil tuas parkir.
Ia cuma sebesar jari dan boleh haus atau rosak akibat menampung berat kenderaan. Menggunakan brek parkir membantu memanjangkan jangka hayat komponen transmisi.
3. Tergesa-gesa Tukar Gear Undur Kepada Pandu
Anda mungkin kerap melakukan aksi ini. Sebaik sahaja mengundur keluar dari petak parkir, anda terus menarik tombol gear ke posisi D dan memecut laju. Anda mungkin menganggap tiada apa-apa berlaku, tetapi apabila kerap dilakukan, tabiat anda itu akan merosakkan trenpacu.
Apa yang patut dilakukan ialah tunggu kereta anda berhenti sepenuhnya sebelum menukar gear kepada posisi pandu (D).
Anda mungkin kerugian masa dua hingga empat saat, tetapi akan menyelamatkan kereta anda daripada mengalami kerosakan enjin, transmisi dan gandar. Cuba bersabar supaya kereta tahan lama.
4. ’Rev’ Sebelum Enjin Panas
Membiarkan kereta anda melahu selama seminit atau dua minit apabila dihidupkan ialah disiplin memandu yang bagus. Amalan tersebut membantu minyak diagihkan ke seluruh enjin dan menyediakan blok enjin dan minyak enjin pada tahap suhu operasi.
Meligatkan (rev) enjin bukanlah cara yang betul untuk mempercepatkan proses memanaskan enjin.
Tindakan meligatkan enjin ketika enjin sejuk hanya mencetuskan tekanan antara komponen- komponen rapat dalam enjin. Berikan masa 60 saat sebelum mula memandu, jangan pula terlalu lama, itu sudah membazir!
5. Menekan Pedal Minyak dengan Rapat
Jika anda kerap menekan pedal minyak hingga ke lantai, anda juga selalu menekan brek dan berhenti mengejut. Memecut secara drastik menyebabkan pembakaran minyak melampau dan turut memberikan tekanan ke atas komponen trenpacu.
Membrek mengejut pula boleh menyebabkan pad dan rotor brek cepat haus. Bertenanglah agar kereta tahan lama.
Must-Watch Video