Pengarah filem Malaysia yang mencipta nama di Australia, Rizal Halim menyifatkan disiplin dan komited terhadap karakter menjadi faktor penting dalam menyerlahkan bakat seorang pelakon.

Ujarnya, persediaan seorang pelakon untuk memahami karakter yang dibawa sebelum penggambaran sangat perlu dititiberatkan agar bersedia ketika berlakon.

Menariknya, Rizal juga kini melakukan senaman intensif sejak 7 bulan lalu untuk membentuk badannya agar memenuhi karakter sebuah filem baru genre aksi yang masih dirahsiakan maklumat lanjut mengenainya.

Rizal memberi bayangan mungkin dia akan menghasilkan filem sekuel atau prekuel daripada filem pertamanya, Lurking Woods mahupun sebuah filem seram dari produksi luar negara.

Bagaimanapun, Rizal menyatakan perasaan teruja untuk memulakan projek sekuel filem arahannya, Lurking Woods 2 yang dijangka memulakan penggambaran pada tahun depan.

"Perancangan untuk filem genre seram berjudul The Tomb yang dirancang pengambaran sebanyak 80 peratus di Malaysia manakala Lurking Woods 2 menjalani pengambaran seratus peratus di luar negara," katanya.

Selepas filem pertamanya itu ditayangkan pada tahun lalu, Rizal juga berdebar menantikan filem keduanya, Tainted Getaway juga akan ditayangkan terlebih dahulu di Australia pada tahun depan.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Rizal Halim