Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melanjutkan tempoh kuarantin bagi penumpang yang tiba dari India melalui misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) serta penerbangan repatriasi dari negara itu.

Menerusi satu kenyataan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,tempoh itu dilanjutkan dari 14 hari kepada 21 hari setelah tujuh daripada 132 penumpang telah dikesan positif COVID-19.

“India merekodkan jumlah jangkitan harian melebihi 300,000 kes sejak April 2021 iaitu tertinggi di dunia pada masa sini.

“Susulan itu kerajaan telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh kuarantin wajib bagi penumpang yang tiba dari India bagi misi HADR pada 12 Mei 2021 dan juga penumpang yang tiba melalui penerbangan repatriasi pada 13 Mei 2021, iaitu daripada 14 hari kepada 21 hari,” katanya.

Tambahnya, sekatan sedia ada bagi penumpang bukan warganegara ke Malaysia dari India masih berkuatkuasa seperti biasa.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan bekerjasama mengekang kemasukan varian baharu dari India, varian B.1.617 yg lebih cepat menular dan menyebabkan gejala serius,” katanya.