Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih Ippo Hafiz dalam projek kolaborasi single terbaharu yang akan dilancarkan April ini.

Jelas Ippo, dia teruja apabila Siti bersetuju untuk menyanyikan lagu yang diciptakan khas untuk beliau.

"Saya simpan impian 9 tahun sejak bergelar komposer iaitu membuat lagu untuk Siti Nurhaliza dan akhirnya akan tercapai.

"Sebelum ini pun saya pernah menghantarkan demo lagu untuk beliau tetapi rezeki tak berpihak pada saya.

"Alhamdulillah, kali kedua membuahkan hasil dan ketika nak tunggu kata putus Siti, tiga hari jugalah berdebar-debar," katanya kepada Gempak.

Ippo yang ditemui ketika majlis penyerahan sijil Kursus Asas Angkatan Pertahanan Awam di Bangi, Selangor pada Khamis memberitahu lagu itu juga akan dijadikan runut bunyi sebuah drama stesen televisyen tempatan.

"Saya tahu ramai orang hebat yang sudah berkerjasama dengan Siti dan memang tak sangka dia percaya kepada hasil kerja saya kali ini.

"Lagu itu akan dijadikan single terbaharu Siti selepas 7 Nasihat dan insya-Allah akan dimuatkan dalam album terbaharu beliau.

"Uniknya mengenai lagu itu, saya memberikan sentuhan 1990-an dengan sedikit elemen moden. Ada juga beberapa kejutan lain, jadi kenalah tunggu," tambah Ippo.

Sementara itu, mengulas mengenai pembabitan dalam Angkatan Pertahanan Awam buat pertama kalinya, Ippo mengambil peluang itu untuk belajar kemahiran asas sekiranya berdepan dengan kecemasan.

"Saya mahu menjadi selebriti yang dilengkapi dengan kemahiran dan teknik yang betul untuk membantu orang ramai sekiranya berdepan masalah atau kecemasan.

"Artis pun perlu ada ilmu yang betul, sekurang-kurangnya boleh menyumbang semula kepada masyarakat," kata Ippo.

Antara selebriti lain yang menerima sijil kemahiran asas APM ialah Zetty Mentor, Nemo Cherpen Band dan Sissy Imann.

Hadir sama majlis tersebut Timbalan Ketua Pesuruhjaya APM Yang Amat Setia, Norhafifi Ismail, Timbalan Pesuruhjaya Kehormat APM, Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah, dan Pengerusi Briged Kesenian APM, Datuk Aizuddin Mohd Ghazali.