Pelakon Nabil Mahir mendedahkan isterinya Ayda Jebat hampir keguguran kerana berdepan tekanan selepas berita kehamilan disiarkan tanpa izin.

Nabil berkata, dia tidak akan sewenang-wenangnya melenting sekiranya isteri berada dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.

“Ayda bekerja dengan banyak jenama. Jadi banyak masa diperlukan untuk mengatur semua kerja. Namun disebabkan berita yang disiarkan tanpa keizinan membuatkan semua jenama itu perlukan komitmen segera.

“Perkara tersebut sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Ayda. Bebanan itu telah menyebabkan dia ‘overwork’ dan mengalami pendarahan serta terpaksa dikejarkan ke hospital.

“Melihat keadaan isteri dalam keadaan sakit, dalam masa yang sama bimbang dengan keadaan bayi dalam kandungan sudah tentu ia ‘trigger’ perasaan saya ketika itu,” katanya kepada Gempak.

[[BACA: Ayda Jebat Sah Hamil Empat Bulan - "Saya Gembira Akhirnya Dapat Berkongsi Berita Gembira Ini Dari Mulut Saya Sendiri..."]]

Tambah Nabil lagi Ayda terpaksa mengambil lima kali suntikan untuk menguatkan rahim dan ditahan di wad beberapa hari.

“Sejujurnya saya bersyukur kerana Allah SWT melindungi anak kami. Doktor kata Ayda kerja terlalu kuat dan tidak tergambar dengan kata-kata selepas beberapa kali menjalani pemeriksaan berkala, rahim Ayda kembali normal dan kandungan berada dalam keadaan baik, Alhamdulillah.

“Orang tidak tahu apa yang isteri saya lalui. Sebagai seorang suami dan bakal ayah perkara tersebut serius kerana kami mungkin kehilangan anak,” katanya menahan sebak.

Sementara itu Ayda ketika ditemui berkata kandungannya kini sudah memasuki trimester kedua dan mencecah usia empat bulan.

Ayda dijangka bersalin pada Oktober depan, namun memilih untuk merahsiakan jantina anak mereka buat masa ini.

“Insya-Allah, saya dijangka bersalin pada bulan Oktober ini. Doakan semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan.

“Tetapi jantina bayi kami rahsiakan dulu ya…Kami akan umumkan pada masa yang sesuai nanti,” katanya teruja.

Ayda dan Nabil ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.