HIBURAN
"Ada Tawar RM50,000 Tidur Satu Malam, Kebanyakannya Lelaki" - Asyraf Dasley Dedah Terima Mesej Tak Senonoh Selepas Juarai Mister Tourism World
Model Asyraf Dasley meluahkan rasa syukur dan tidak sangka namanya diangkat sebagai juara Mister Tourism World edisi ke-8, menewaskan peserta-peserta dari benua Eropah, Amerika, Afrika dan Asia.
BERITA TRENDING: Asyraf Dasley Dinobatkan Juara Utama Yang Sah Mister Tourism World 2025
Keputusan itu diumumkan menerusi satu kenyataan media di akaun media sosial Mister Tourism World pada malam Jumaat.
Bagaimanapun, Asyraf mengakui agak sedih apabila dia tidak dapat meraikan kemenangan itu pada hari kejadian.
“Alhamdulillah saya bersyukur atas kemenangan ini, memang rasa gembira sangat bila pengumuman itu dibuat dan saya sendiri tidak sangka.
"Tapi agak sedih apabila juga kejayaan tersebut saya tak dapat raikan di atas pentas sebenar sewaktu hari kejadian.
"Apapun saya puji kewibawaan integriti organisasi yang menguruskan pertandingan itu kerana berlaku jujur,” katanya.
Untuk rekod, Asyraf diumumkan sebagai pemenang selepas pihak pengurusan membuat semakan pemarkahan.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan, markah wakil Malaysia itu sememangnya di tempat pertama menewaskan wakil Vietnam yang diumumkan sebagai juara pada awalnya.
Asyraf membawa pulang hadiah berupa wang tunai dan tajaan percutian.
Pertandingan tersebut dijalankan pada Februari lalu di Vietnam dan disertai berpuluh peserta dari luar negara seperti Sepanyol, Nigeria, Taiwan, Thailand, Filipina, Australia, Perancis, Turki dan banyak lagi.
Hampir tarik diri
Berkongsi lanjut, Asyraf memberitahu perjalanan untuk memenangi pertandingan itu bukanlah perkara mudah kerana perlu lalui pelbagai cabaran yang sangat mencabar.
Malah, pemergian ibu tercinta pada Januari lalu hampir mengubah fikiran Asyraf daripada turut serta Mister Tourism World.
“Ujian yang dibuat bukan hanya dilihat dari segi fizikal atau rupa paras sahaja, malah kami para peserta diuji dengan pelbagai aspek.
"Sebagai contoh kami diuji dengan ujian IQ (intelligence quotient) serta perlu menjawab beberapa soalan melibatkan ujian psikologi. Lebih mencabar buat saya apabila perlu bersaing selepas kehilangan ibu tersayang pada 8 Januari lalu.
"Saya hampir nak tarik diri tapi fikirkan yang arwah minta saya buat sedaya upaya sebelum dia pergi, saya kuatkan semangat dan teruskan perjuangan,” ujarnya.
Bukan hanya memiliki paras rupa yang kacak, bahkan Asyraf memiliki latar belakang bidang pendidikan yang amat membanggakan.
Asyraf memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam kejuruteraan mekanikal dan Ijazah Sarjana bagi jurusan reka bentuk teknologi.
Nak berlakon dengan Amelia Henderson, Meerqeen
Berbekalkan bakat dan cita-cita yang tinggi, Asyraf juga berharap pencapaian yang dicapai mampu membuka mata pihak produksi di Malaysia untuk mengambilnya berlakon.
“Selepas ini saya mahu mencipta banyak lagi kejayaan lain di luar negara. Bila dah ada pencapaian itu saya harap ia membuka mata buat produksi di Malaysia untuk mengambil saya berlakon di sini,” katanya.
Selain itu, Asyraf memasang harapan untuk berlakon dengan pelakon-pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Erra Fazira, Amelia Henderson dan Meerqeen suatu hari nanti.
“Saya berharap satu hari dapat berlakon dengan pelakon hebat macam Datuk Rosyam Nor serta Erra Fazira. Kalau yang muda pula saya teringin mahu berlakon dengan Amelia Henderson dan Meerqeen.
“Saya percaya usia bukan penghalang untuk berjaya dalam bidang lakonan. Biarpun ada yang kata saya sudah lewat untuk berlakon, tapi saya ambil contoh pelakon luar negara yang berjaya juga pada akhirnya meskipun memulakan karier agak lambat,” jelasnya.
BERITA TRENDING: “Saya Dapat Gambar Pakaian Dalam” - Datuk Chef Fazley Yaakob Dedah Terima Mesej Nakal Selepas Bercerai
Dapat DM nakal
Sementara itu, Asyraf mendedahkan dia juga ada menerima pelbagai DM (direct message) di media sosial untuk melakukan perkara tidak senonoh termasuk hubungan terlarang.
Malah dakwa Asyraf, ada juga daripada mereka yang sanggup menawarkan wang ringgit untuk tidur bersamanya.
“Selepas naik poster saya sebagai pemenang, saya dapat DM yang menawarkan tawaran duit atau bercuti di hotel mewah jika melayan mereka.
"Ada yang tawarkan sampai RM50,000 untuk tidur dengan saya selama satu malam.
"Lebih mengejutkan apabila kebanyakan yang DM ialah lelaki, siap ada yang minta nombor akaun bank dan nak buat panggilan video,” katanya.
BERITA TRENDING: Terima Komen ‘Nakal’ Netizen, Melissa Campbell & Suami Tak Ambil Peduli - “Dia Kata Biarlah Apa Netizen Nak Cakap”
Mahu jaga maruah diri sebaiknya, Asyraf memberitahu dia mahu menjual bakat yang ada dan bukanlah tubuh.
Jelas Asyraf dia memang tidak akan layan berapa sahaja amaun tawaran ditawarkan malah akan terus sekat akaun-akaun yang melakukan perkara sedemikian.
“Saya mahu jual bakat, bukan jual tubuh. Saya memang menjaga maruah diri dan tidak akan terima tawaran macam tu jika ditawarkan RM1 juta sekalipun. Bila baca DM macam itu saya akan terus padam dan sekat, saya memang jenis tak layan perkara-perkara macam tu,” jelasnya.