Penyanyi Lan Solo mengakui menerima banyak komen daripada warganet yang menegurnya kerana memegang tangan wanita lain di dalam muzik video (MV) 5 Kaki 4 Inci.

Wanita yang ditampilkan dalam MV tersebut merupakan Ratu Cantik Kota Kinabalu 2017 (Unduk Ngadau 2017), Kerinah Mah.

Menurut Lan, sebaik sahaja dia memuat naik teaser MV lagu terbaharunya itu, ramai yang menegur dan mendakwa dia tidak menjaga hati isteri, Sheila Hassim.

“Memang ada yang tinggalkan komen, yang tegur cara baik dan yang marah-marah pun ada. Mereka kata saya tak jaga hati isteri.

“Ada juga yang tanya, isteri tak cemburu ke? Tapi ramai juga yang faham ‘pegang tangan’ itu adalah babak lakonan semata-mata.

“Jangan risaulah, isteri saya ada semasa penggambaran MV itu di Sabah. Dia beri ‘green light’ dan faham tuntutan kerja saya,” katanya.

Bagaimanapun kata Lan, sebelum penggambaran bermula dia sudah bersedia dengan kebarangkalian dikecam atau perbuatannya itu di salah anggap.



“Saya seorang yang setia pada yang satu. Apa yang ditampilkan dalam MV itu hanya sekadar kerja dan kami profesional.

“Sebelum memulakan penggambaran saya sudah fikirkan tentang kecaman dan pandangan negatif warganet.

“Saya tak risau tentang isteri tetapi lebih risau dengan orang luar yang salah anggap sehingga boleh mengganggu hubungan suami isteri kami,” katanya.

Dalam pada itu Lan bersyukur kerana selepas satu tahun lagu 5 Kaki 4 Inci disimpan, ia berjaya dilancarkan.

“Apa-apa pun saya bersyukur selepas setahun lagu ini disimpan, akhirnya dapat juga dilancarkan. Sepatutnya dah dilancarkan tahun lepas tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami tangguhkan dahulu.

“Rasa macam tak sesuai pula nak lancarkan lagu masa tu kan. Dan selepas itu saya diuji lagi dengan beberapa perkara, tertangguh lagi.

“Pelbagai cabaran ditempuhi dan hari ini 5 Kaki 4 Inci dilancarkar serentak dengan MVnya sekali,” katanya.

Lan ditemui ketika majlis pelancaran video muzik lagu terbaharunya berjudul 5 Kaki 4 Inci di Red Box, The Garden Mall, Kuala Lumpur pada Rabu.