Rumah tangga bakal berakhir, penyanyi Adira kelihatan tenang apabila tiba di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat bersama peguam syarie, Nor Saidah Zakaria untuk lafaz perceraian pada pagi, Rabu.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 32, ketika ditemui para media berharap segala proses prosiding perlantikan hakam dipermudahkan.

“Alhamdulillah tenang sahaja. Semoga semuanya dipermudahkan seperti apa yang kami sudah bincangkan.

“Lebih tenang dan apa yang saya boleh cakap keputusan saya masih tetap sama, paling penting tenang,” katanya yang turut mengiyakan dirinya nekad.

Bergantung pada Datuk Red

Sementara itu, peguam syarienya Nor Saidah berkata keputusan bergantung kepada Datuk Red.

“Sepatutnya hari ini untuk lantikan hakam masing-masing tapi Adira ada buat perbincangan dengan pihak Datuk Red, perbincangan akan dibentangkan di hadapan hakim dan kita tengok apa pendirian Datuk Red nanti,” katanya.

Datuk Red enggan komen!

Datuk Seri Adnan Abu, 46, atau Datuk Red yang diwakili oleh peguam syarie, Muhammad Akmal Azman pula tiba lima minit kemudian.

Bagaimanapun Datuk Red enggan memberikan sebarang ulasan dan terus melangkah masuk ke dalam mahkamah.

Pada 5 Mac lalu, Adira dan Datuk Red hadir bagi keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik Adira dan suaminya berhubung proses perceraian mereka.

Datuk Red melantik sahabat baik sendiri sebagai wakil JKP manakala Adira selaku plaintif melantik kakaknya Emma Suhaimi untuk prosiding berkenaan.

Semalam Datuk Seri Adnan Abu, 46, atau Datuk Red yang mahukan isteri pertama, Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim dan isteri kedua, Adira Suhaimi menarik balik permohonan cerai mereka.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan perceraian berikutan tiada persefahaman. Sebelum ini, Adira pernah memfailkan perceraian pada 2019, namun menarik semula demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun.

Perkahwinan Adnan dengan isteri pertamanya yang dikenali sebagai Datin Red mempunyai lima anak.

Sebelum perkahwinan itu, Adnan pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun dan berpisah lima tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, dia dikurniakan dua anak dan secara keseluruhan mempunyai 11 anak menerusi tiga perkahwinan.

BERITA TRENDING: Fail Cerai Pada Januari, Isteri Pertama Datuk Red ; “Ini Bukan Keputusan Saya Tapi…”

PILIHAN PEMBACA: Adira Nekad Berpisah, Suami Terpaksa Reda - “Bukan Dugaan Tapi Balasan Terhadap Apa Yang Saya Lakukan Dahulu”