Penyedia perkhidmatan umrah, syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) tampil menafikan dakwaan mengatakan pihaknya menaja umrah pempengaruh TikTok, Abang Tesla atau nama sebenar Mohammad Khaliltizam Yusri dan dua isterinya.

Pengurusan tertinggi Andalusia dalam satu kenyataan berkata, Abang Tesla dan keluarganya membayar sepenuhnya kos percutian dan umrah (Pakej Umrah Ziarah Istanbul Bursa) mereka sendiri.

"Dakwaan itu adalah tidak benar. Abang Tesla dan keluarganya membayar sepenuhnya kos percutian dan umrah (Pakej Umrah Ziarah Istanbul Bursa) mereka sendiri. Kami hanya menyediakan perkhidmatan pakej umrah ziarah kepada pelanggan kami yang ingin menunaikan umrah.

"Kami berharap dakwaan ini akan dapat dihentikan. Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang telah timbul," jelas kenyataan itu pada Rabu di media sosial rasmi agensi berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial, Abang Tesla memuat naik gambar bersama dua isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

Berdasarkan pada kapsyen gambar tersebut, Abang Tesla menyatakan mereka akan bercuti di Turkiye dan menunaikan umrah bersama keluarga.