Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#AgongKita: 30 Kru, 21 Sulaman Motif Bunga Raya & Awan Larat, Ini Fakta Menarik Persalinan Raja Permaisuri Rekaan Datuk Radzuan Radziwill

Gempak
20/07/2024 06:30 MYT
Motif bunga raya disulam menggunakan manik kristal berwarna keemasan menyerikan Kurung Johor yang dikenakan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Berkongsi pengalaman dalam menyiapkan pakaian rasmi itu, pereka fesyen Datuk Radzuan Radziwill berkata 21 sulaman tangan bermotifkan bunga raya dan corak awan larat yang menghiasi busana Raja Permaisuri Agong diilhamkan daripada Muskat disarung Sultan Ibrahim pada istiadat itu.



Pereka fesyen dari Kuala Kangsar, Perak itu berkata sulaman bunga kebangsaan dijahit di atas kain renda berwarna emas serta dilapik dengan fabrik jenis taffeta di bahagian dalam juga dalam rona sama, sekali gus menaikkan lagi seri Raja Permaisuri Agong.

"Kita menitikberatkan elemen tradisional dalam potongan Baju Kurung Johor yang lebih sopan dengan leher Teluk Belanga, tapi kita ubah sedikit supaya lebih ringan untuk memudahkan pemakaian selempang, bintang dan pingat kebesaran dan sebagainya," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Titah Raja Zarith Sofiah

Radzuan berkata beliau dititahkan oleh Raja Zarith Sofiah tiga bulan lepas untuk menyediakan persalinan bagi istiadat pertabalan itu termasuk tudung dan pelbagai tata rias, malah Seri Paduka Baginda juga telah menzahirkan beberapa idea yang bersesuaian untuk diterjemahkan ke dalam rekaan busana tersebut.

Lebih menarik lagi, pereka fesyen itu berkata warna serta semua fabrik yang digunakan untuk persalinan itu juga dipilih dan disediakan sendiri oleh Raja Permaisuri Agong, dan bermula dari situ beberapa lakaran dan rekaan busana yang sesuai disediakan untuk diputuskan oleh Seri Paduka Baginda.

"Satu persalinan itu kita buat dalam tiga atau empat lakaran, dan dari situ juga kita perbetulkan semula apa yang perlu, mendengar dan mendapatkan maklum balas daripada Raja Permaisuri Agong. Alhamdulillah Seri Paduka Baginda berkenan mengikut warna yang telah disediakan kepada kami," katanya.

Radzuan berkata hasil beberapa kali cubaan busana oleh Raja Permaisuri Agong, beliau mendapati masa yang diambil untuk memakai set persalinan lengkap itu lebih dua jam, yang memerlukan pasukannya berada di Istana Negara lebih awal sebelum bermulanya istiadat berkenaan.



Teknik framing khas

Beliau berkata teknik 'framing' khas turut digunakan di bahagian dalam busana Kurung Johor berkenaan, bagi mengekalkan posisi bintang dan pingat kebesaran pada persalinan Raja Zarith Sofiah, pada istiadat yang penuh bersejarah itu memandangkan ia melibatkan pergerakan Seri Paduka Baginda.

"Framing itu memang kita punya rahsia tersendiri, bagi nampak kedudukan bintang dan pingat kebesaran. Jadi semuanya berkenaan teknik yang ditampilkan menerusi pengalaman luas. Istiadat ini melibatkan pergerakan, jadi mesti teliti. Sebab gambar-gambar istiadat itu akan dikenang sampai bila-bila dan semestinya mahu yang terbaik dari hasil tangan kita sendiri," katanya.

BERITA TRENDING: Pelitup Muka Radzuan Radziwill x Gempak Lulus Ujian Makmal Eurofins

BERITA TRENDING: 5 Sebab Anda Harus Miliki Pelitup Muka Edisi Khas Radzuan Radziwill!

BERITA TRENDING: KDYMM Raja Permaisuri Agong Serlah Semangat Patriotik Dengan Pelitup Muka Berlatarkan Jalur Gemilang

BERITA TRENDING: "Abang Wan Minta Tolong Hatta, Tapi..." - Hatta Dolmat Terkilan Tak Dapat Bantu Radzuan Radziwill Buat Pakaian Frontliners Gara-Gara..

30 orang kru

Menyentuh mengenai jumlah individu yang terlibat dalam penghasilan persalinan itu, Radzuan berkata pihaknya memerlukan satu pasukan yang besar melibatkan kira-kira 30 orang termasuk untuk lakaran, rekaan, pola asas pakaian, potongan, jahitan, sulaman, tata rias dan sebagainya.

Bagaimanapun beliau berkata proses penghasilan persalinan itu hanya dibuat pada waktu kerja biasa bermula dari 8 pagi hingga 6 petang tanpa perlu dilewatkan hingga ke malam, kerana persiapan dan perancangan awal telah dibuat bagi membolehkan busana rasmi itu disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Dalam tempoh tiga bulan ini, kami menyiapkan tiga busana untuk Raja Zarith Sofiah iaitu persalinan di hari istiadat pertabalan, persalinan Majlis Santapan Diraja dan satu lagi persalinan untuk lawatan rasmi Seri Paduka Baginda. Alhamdulillah, kita berjaya siapkan pakaian rasmi ini," katanya yang turut menghasilkan persalinan untuk gambar rasmi Seri Paduka Baginda.

Cemas

Walaupun sudah berkecimpung dalam industri fesyen negara lebih 30 tahun, Radzuan tidak pernah mengambil mudah amanah yang diberikan, sebaliknya beliau sangat menitikberatkan soal ketelitian dan teknik dalam penghasilan busana berkenaan, terutamanya di bahagian sulaman yang merupakan tumpuan utama bagi persalinan itu.

"Perasaan saya bukan sahaja cemas, tetapi pada masa juga teruja. Dari situ baru kita lebih berhati-hati dan teliti untuk siapkan persalinan ini. Memandangkan ini persalinan rasmi Raja Permaisuri Agong, kita tidak boleh sambil lewa kerana ini perkara yang serius. Semestinya pengalaman ini akan dikenang sampai bila-bila," katanya.

Hari ini Malaysia menyaksikan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.

Sumber: BERNAMA
#Viral #Gaya Hidup #Fesyen #KRU #Kristal #Busana #Raja Permaisuri Agong #Radzuan Radziwill #Awan Larat #Bunga Raya #Sulam #Teknik #Raja Zarith Sofiah
;