Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#AgongKita: Jalani Latihan Juruterbang Helikopter, Kemahiran Dalam Aktiviti Air & Permotoran, Ini Antara Biodata Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim

Awani
20/07/2024 07:45 MYT
Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim telah pun berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara hari ini.

Istiadat tersebut dihadiri ratusan tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini dan pemimpin utama negara.

Turut berangkat hadir Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.

Berikut ialah biodata rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office).


Biodata rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor dan merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche' Besar Khalsom Abdullah.

#PENDIDIKAN

Seri Paduka Baginda mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam di Johor Bahru sebelum memulakan pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1), juga di Johor Bahru.

Pada 1968 hingga 1970, Sultan Ibrahim melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Sydney, Australia sebelum meneruskan pelajaran menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) dari 1971 hingga 1975 serta mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.

Bagi menjadi seorang raja yang berwibawa dan dihormati, Seri Paduka Baginda meneruskan pengajian di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat dan melengkapkan dua kursus - Southeast Asian Strategic Studies dan International Law of the Seas.

#KETENTERAAN

Seri Paduka Baginda mula mendapat latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi, Johor dan kemudian mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat, serta menjalani latihan airborne dan ranger untuk pegawai infantri.

Semangat ketenteraan yang tinggi dan tertanam dalam jiwa Sultan Ibrahim, mendorong Seri Paduka Baginda meneruskan latihan American Special Forces dan Pathfinder, dan Sultan Ibrahim telah membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam.

Sultan Ibrahim kemudian dipilih dan ditauliahkan sayap, seterusnya mendapat pengiktirafan sebagai seorang komando selain turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).

Sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia, Seri Paduka Baginda telah melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia.

Bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sultan Ibrahim telah menjalani latihan juruterbang helikopter dan dikurniakan sayap daripada Almarhum Sultan Iskandar pada 26 April 1982.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, sekali gus melengkapkan Seri Paduka Baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara yang berkemahiran.

#PERKHIDMATAN DENGAN KERAJAAN NEGERI

Sultan Ibrahim pernah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di pelbagai jabatan bagi mempelajari aspek-aspek pengurusan serta pentadbiran negeri.

Seri Paduka Baginda dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

#PELANTIKAN SEBAGAI PEMANGKU RAJA JOHOR

Pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989, Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Johor semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.

#ISTERI DAN ANAK-ANAK

Pada 22 Sept 1982, Seri Paduka Baginda mendirikan rumah tangga bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah dan dikurniakan lima putera dan seorang puteri iaitu Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

#MINAT DAN HOBI

Sultan Ibrahim, yang juga kakanda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merupakan seorang yang meminati pelbagai jenis masakan dan pandai memasak.

Seri Paduka Baginda juga mempunyai banyak kemahiran, terutama dalam permotoran dan aktiviti air.

ARTIKEL BERKAITAN:#AgongKita: 30 Kru, 21 Sulaman Motif Bunga Raya & Awan Larat, Ini Fakta Menarik Persalinan Raja Permaisuri Rekaan Datuk Radzuan Radziwill

ARTIKEL BERKAITAN:#AgongKita: Ini Sebenarnya Maksud Keunikan Motif Gambir, Lada Hitam Hiasi Tengkolok Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim


ARTIKEL BERKAITAN:Sultan Ibrahim Gemar Masakan Kampung, Pedas - Cef Hamdan

ARTIKEL BERKAITAN:Sempena Istiadat Pertabalan Agong, 14 Laluan Di KL Ditutup Pada Sabtu

ARTIKEL BERKAITAN: Kenali Yang di-Pertuan Agong ke-17


#KEPERIBADIAN

Sifat Sultan Ibrahim yang suka mendekati rakyat mendorong Seri Paduka Baginda mengilhamkan program Kembara Mahkota Johor sejak menjadi Tunku Mahkota Johor lagi.

Ketika berlaku bencana terutama banjir, Seri Paduka Baginda juga antara yang terawal turun padang untuk melihat sendiri situasi sebenar, serta mengambil berat terhadap kesulitan yang melanda rakyat Johor.

Sultan Ibrahim turut lantang bersuara berkenaan isu-isu seperti kebersihan dan alam sekitar, dan sering menghulurkan bantuan kotak makanan dan kampit beras kepada golongan miskin kerana prihatin dengan peningkatan kos sara hidup yang meresahkan rakyat.

Dalam menyantuni rakyat jelata, Seri Paduka Baginda juga dilihat sering singgah di gerai dan kedai makan di setiap daerah di Johor.

Sumber: AWANI menerusi BERNAMA

Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

#Johor #Istiadat #Sultan Ibrahim #Pertabalan #Agong Kita #Royal Press Office
;