Laman Utama
Aina Abdul Bakal Beri Kejutan Di AJL35 - "Akan Ada Sesuatu Pada Pakaian Saya Tapi Bukan..."
Penyanyi berbakat, Aina Abdul akui perancangan untuk persembahannya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) tahun ini lebih berat berbanding tahun lalu.
Menurut Aina yang mempertandingkan lagu Semalam itu, modal dan perkara berkaitan persembahan kali ini adalah daripada pihaknya sendiri.
"Sejujurnya, perancangan untuk AJL kali ini lebih berat berbanding tahun lalu kerana modal dan hal-hal berkaitan persembahan adalah dari saya dan team sendiri.
"Tahun lepas pentas diuruskan oleh pihak produksi, tetapi tahun ini boleh dikatakan seratus peratus dari saya sendiri, tetapi tidak dinafikan kami akan bekerjasama dengan pihak produksi," kata Aina kepada Gempak.
Jelas Aina, dia memilih untuk berbuat demikian kerana ia memudahkan proses rehearsal.
"Saya buat begitu sebab senang nak rehearsal sendiri, dari segi pencahayaan dan lain-lain, saya mahu biasakan diri dahulu.
"Persembahan saya dalam AJL kali ini antara 'on' dan 'off' sahaja, tiada istilah pertengahan, setiap minit kena ada sesuatu yang berlaku," katanya.
Tambah Aina, dia bakal memberi kejutan kerana akan ada sesuatu pada pakaian yang dipakai ketika persembahan itu nanti.
"Akan ada sesuatu lagi pada pakaian saya kali ini, bukan darah tiruan seperti tahun lalu, biarlah ia menjadi kejutan nanti," katanya lagi.
AJL35 akan bersiaran secara langsung tanpa penonton pada 14 Mac ini dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pukul 9 malam.
Must-Watch Video