Laman Utama
Aina Abdul Dedah Pernah Menyanyi Di Kelab - "Saya Kerja Keras & Nekad Untuk Pergi Lebih Jauh"
Penyanyi berbakat, Aina Abdul menjelaskan sebab pemilihan kelab malam dijadikan lokasi dalam muzik video lagu terbarunya berjudul Sepi.
Menurut Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, pemilihan lokasi tersebut mengisahkan perjalanan hidupnya sebelum bergelar penyanyi 'mainstream' yang pernah bekerja sebagai penyanyi gig di restoran, kelab dan lounge.
"Saya bermula sebagai penyanyi gig di restoran, kelab dan lounge. No Black Tie dipilih menjadi lokasi muzik video Sepi kerana saya pernah mencari rezeki di sana dengan menyanyi setiap malam.
"Persekitaran lokasi sangat dekat dengan jalan cerita yang ditonjolkan dalam lagu ini, bagaimana saya mencari identiti sendiri dengan menyanyi dan dari situ, saya keluar mengenali dan meneroka ke dunia yang lebih luas.
"Apa yang saya paparkan dalam muzik video itu antara kisah suka duka serta kejadian yang pernah saya lalui sebelum dikenali sebagai penyanyi mainstream," katanya.
Muzik video Sepi yang dicipta sepenuhnya oleh penyanyi berusia 28 tahun ini mula dilancarkan di saluran YouTube pada 8 Februari lalu dan setakat artikel ini ditulis, ia telah mencecah lebih 400,000 tontonan.
Tambah Aina, dia juga mahu memberikan inspirasi kepada peminat melalui karya tersebut.
Malah, lirik lagu Sepi juga bersesuaian dengan situasi sekarang di mana ramai yang terkesan daripada pandemik COVID-19.
"Menerusi Sepi, saya bercerita tentang konsep menyayangi diri sendiri. Daripada kisah yang pernah dilalui sendiri, saya cuba untuk memberi inspirasi kepada orang di luar sana bahawa 'you are the owner of your destiny, and nobody else can change but you'.
"Saya dahulu menyanyi di restoran dan kelab-kelab tapi saya kerja keras dan nekad untuk pergi lebih jauh untuk merealisasikan impian dan mahu karya saya didengari.
"Selain itu, jika lirik lagu ini diperhalusi, ia juga sesuai dengan situasi semasa tatkala kita semua berhadapan dengan pandemik. Ramai yang terkesan dengan keadaan sekarang, ada yang dibuang kerja, ada yang sukar mencari rezeki dan banyak lagi.
"Kita juga melihat ramai anggota barisan hadapan yang terus kekal berjuang walaupun penat bekerja, serta mereka yang bersusah payah untuk mengekalkan kehidupan di waktu mencabar ini," katanya lagi.
Must-Watch Video