Pelakon Aishah Azman, 25, bersyukur kerana keputusan ujian calitan Covid-19 berpihak pada dirinya apabila keputusan yang diterima adalah negatif.

Bagaimanapun, Aishah atau nama sebenarnya Nor Aishah Afika Azman meluahkan rasa kecewa dengan penerbit drama Rindu Yang Hilang yang didakwa telah memaksa pelakon yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif untuk hadir menjalani penggambaran.

"Alhamdulillah saya negatif. Terima kasih semua yang mendoakan baik-baik untuk saya dan keluarga dan team #RinduYangHilang.

"Moga Allah membalas kepada pihak yang tak bertanggungjawab dengan setimpal. Saya sebagai salah seorang pelakon untuk team #RinduYangHilang sangat kecewa dengan tanggungjawab penerbit team ini.

"Beliau boleh memaksa seorang pelakon yang memang dah ada kontak rapat dengan pesakit positif Covid untuk hadir menjalankan penggambaran tanpa fikirkan pihak pelakon dan team yang lain," tulisnya.

Ketidakpuasan hati itu dibuat menerusi dua buah entri yang dimuat naik di Instagram Stories pada hari Sabtu.

Dakwa adik kepada aktor Afiq Muiz lagi, penerbit tersebut bertindak mengerah para pelakon untuk bekerja selama 24 jam bagi mengelak daripada mengeluarkan bajet yang lebih.

Malah, bayaran untuk melakukan ujian juga ditanggung sendiri bukan daripada penerbit produksi tersebut.

"Atas sebab tak nak bayar lebih untuk tambahan hari. Beliau juga biarkan para pelakon untuk bekerja hingga 24 jam atas sebab tak nak mengeluarkan bajet yang lebih.

"Pertama kali saya bekerjasama dengan seorang penerbit pentingkan diri begini. Dan selepas dapat tahu pelakon tersebut positif Covid, beliau langsung tak bertanggungjawab untuk membayar semua kos swab test pada semua team #RinduYangHilang," tulisnya lagi.

Difahamkan, drama Rindu Yang Hilang adalah terbitan syarikat Bright Network.

Sebelum ini, Sweet Qismina, Laila Nasir dan Farisha Irwayu juga telah disahkan positif Covid-19 ketika sedang menjalani penggambaran drama Kiblat Yang Hilang.

BACA: Tiga Hari Tak Pulih, Sukar Bernafas... Sweet Qismina Positif COVID-19