Laman Utama
"Aizat Lelaki Pertama Imamkan Saya Bulan Puasa Tahun Lepas" - Elyssa Alia
Bakal suri hati Aizat Amdan, Elyssa Alia mendedahkan mula menerima penyanyi itu sebagai bakal suaminya selepas dua tahun berkenalan.
BACA: Aizat Amdan Nafi Sudah Kahwin Senyap-Senyap - "Astagfirullah, Budak Dalam IG Tu Sebenarnya Anak ..."
Kongsi Elyssa, 34, nalurinya kuat mengatakan Aizat merupakan individu tepat untuk membimbingnya ke jalan yang lebih baik dan mampu menjadi imamnya.
"Terus-terang, apa yang membuatkan saya suka pada dia ialah pegangan agamanya. Dia nampak sangat ‘chill’ dan tentunya semua orang nak berubah ke jalan yang baik. Aizat adalah lelaki pertama yang imamkan saya waktu bulan puasa tahun lepas.
"Jadi, ia buat saya rasa dia mampu bimbing saya ke arah lebih baik. Bagi saya, dia mempunyai hati yang sangat besar di sebalik orang tengok dia begitu.
"Sekarang ini, kalau kami pergi solat, memang dia akan jadi imam saya," ujarnya kepada Gempak.
Elyssa hadir bersama Aizat pada majlis berbuka puasa dan malam media Armani Entertainment Group di Hotel Hilton Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Elyssa, mereka kini dalam proses persediakan menuju ke hari bahagia selepas selesai majlis merisik pada 12 Februari lalu.
Melanjutkan cerita mengenai proses perkenalan mereka, kata Elyssa, hubungan asalnya bermula sebagai sahabat dan teman makan.
"Peliknya, saya kenal adik dia dulu, Alif dan kawan-kawan baiknya yang lain, tapi tidak dirinya. Itulah yang dinamakan jodoh agaknya, pusing jauh macam mana pun, tetap jodoh. Nak jadikan cerita, mak saya pun kenal dengan arwah ayah Aizat.
"Bagi saya, perkenalan dan hubungan saya ini sudah diatur cantik oleh Tuhan. Kami berdua pun suka makan.
"Saya tak pernah kenal lelaki yang suka makan macam saya, dan dia pula tak pernah kenal mana-mana perempuan yang makan banyak daripada dia. Agaknya dari situ timbul rasa suka," ceritanya teruja.
Sekadar info, Elyssa sebelum ini pernah bergelar hos untuk program Jom Wayang dan penyampai radio di stesen radio Rakita.
Must-Watch Video