Penyanyi terkenal Hollywood, Britney Spears akhirnya diberi kebebasan untuk memilih peguam sendiri dalam kes rayuan memohon untuk menyingkirkan bapanya, James Spears sebagai 'penjaga' (conservator).

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Brenda Penny, Mahkamah Los Angeles, Amerika Syarikat pada Rabu selepas lebih 13 tahun Britney tidak dapat memilih perwakilan pilihannya sendiri.

Pada Rabu juga, peguam Samuel D. Ingham III yang mengendalikan kes Britney selama ini telah menarik diri.

Setelah itu, penyanyi Baby One More Time itu memilih peguam berpengaruh Mathew S. Rosengart yang pernah berkhidmat untuk beberapa selebriti Hollywood seperti Sean Penn dan Steven Spielberg sebagai pengganti.

Dalam pada itu, Britney juga berkongsi kegembiraan dan kata-kata penghargaan buat peminat di akaun Instagram miliknya.

"Dapat perwakilan yang sebenar, saya sangat bersyukur dan rasa diberkati.

"Terima kasih kepada semua peminat yang menyokong saya, kata-kata tak dapat menggambarkan betapa saya menghargai sokongan hebat anda semua.

"Ini saya meraikannya dengan menunggang kuda dan bergimnastik," tulisnya yang disertakan sebuah video.

A post shared by Britney Spears (@britneyspears)


Terdahulu, Britney mengejutkan dunia dengan pengakuan kepada Mahkamah Los Angeles mengatakan dirinya mengalami kemurungan teruk kerana kehidupannya dikawal seperti hamba oleh bapa sendiri.

Dia merayu kepada hakim Brenda Penny untuk dibebaskan daripada telunjuk bapanya yang mengawal hidup serta kekayaan miliknya bernilai RM250 juta sejak 13 tahun lalu.

Antara selebriti Hollywood yang memperjuangkan nasib Britney adalah Madonna, Mariah Carey, Khloe Kardashian, Christina Aguilera dan ramai lagi.

BACA: "Berikan Kehidupannya Kembali!" - Giliran Madonna Pula Perjuangkan Nasib Britney Spears

Sumber: The New York Post & Instagram Britney Spears
Kredit Foto: BBC