Aktivitis banjir, Fatimah Zaharah Rahim mula mengambil tindakan undang-undang dengan menuntut permohonan maaf dan ganti rugi fitnah sebanyak RM900,000 daripada pelakon dan pengacara Nabila Huda Suhaimi yang didakwa memfitnahnya di laman media sosial Instagram dan Twitter tahun lepas.

Kata peguam Nurul Hafidzah Hassan dibantu oleh peguam bersama Zeti Zulkifli dan Datuk Wan Azmir Wan Majid menerusi siaran media yang dikirimkan kepada Gempak, Fatimah Zaharah tidak melakukan perkara seperti yang telah didakwa Nabila Huda.

"Anak guam, Fatimah Zaharah tidak pernah melakukan seperti apa yang didakwa Nabila Huda dan beliau telah menerima kecaman, ugutan dan komen-komen yang tidak benar daripada masyarakat berikutan kata-kata yang dikongsikan oleh pelakon tersebut," tambah Nurul Hafidzah.

Surat tuntutan telah dihantar melalui serahan tangan oleh firma guaman NHA Advocates & Solicitors yang mewakili aktivis tersebut kepada Nabila Huda pada hari Khamis, 20 Januari selepas aktivis itu mendapat nasihat daripada barisan peguamnya.

Fatimah Zaharah mendakwa Nabila Huda telah menyebarkan berita palsu dan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah pada 25 Disember tahun lepas dengan memuat naik, menulis dan menerbitkan melalui aplikasi Instagram dengan nama pengguna kupu-kupu.

Aktivis itu turut mendakwa Nabila Huda telah mendedahkannya kepada kebencian orang ramai apabila melihat dan membaca apa yang telah ditulis dan diterbitkan oleh pelakon tersebut.

Nabila Huda juga didakwa telah menyiarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah yang membawa maksud yang aktivis tersebut adalah seorang yang bangsat, bodoh, pencuri, mengambil dan memberi barang sumbangan orang lain namun mengakui barangan tersebut adalah daripadanya, mengambil kesempatan ke atas orang lain dan lain-lain kenyataan.

Pada tarikh yang sama, Nabila Huda turut didakwa telah memuat naik gambar aktivis dan menerbitkan satu penyiaran yang mana kenyataan-kenyataan tersebut membawa maksud yang aktivis tersebut telah memberi barang sumbangan yang bukan miliknya namun menyatakan bahawa barang sumbangan tersebut adalah daripada beliau dan mengambil kesempatan ke atas orang lain.

Kenyataan-kenyataan yang didakwa fitnah dan berita palsu tersebut telah dikongsi dan ditonton di pelbagai platform media sosial yang lain termasuk di platform Youtube, laman-laman portal berita dan juga saluran media.

Tindakan Nabila Huda itu telah menyebabkan Fatimah Zaharah mengalami perasaan malu, tekanan emosi dan kesedihan apabila masyarakat mempercayai dakwaan berita palsu dan fitnah yang telah dimuat naik dan diulang siar oleh pengguna-pengguna media sosial yang lain setelah melihat “postings” tersebut.

Fitnah dan berita palsu itu juga telah turut memberi kesan buruk kepada ahli keluarganya.

Sekiranya tiada permohonan maaf, pembayaran ganti rugi RM900,000 atau ganti rugi yang setimpal dengan kesan daripada tindakan dakwaan fitnah tersebut dalam masa tujuh hari selepas penerimaan surat tuntutan, Fatimah Zaharah akan memfailkan tuntutan di mahkamah.