Hiburan
Album Baru Dayang Trending Di iTunes
Sejak mula dilancarkan secara digital pada 7 April lalu, album terbaru Dayang Nurfaizah telah menjadi trending di iTunes bersama artis antarabangsa seperti Coldplay, Ed Sheeran, Rockabye, Jay Chou dan Maroon 5.
Dayang berkata, dia tidak menyangka album terbarunya itu menjadi 'worldwide trending' di iTunes.
“Saya terkejut apabila diberitahu album ini menjadi trending. Mungkin peminat sudah lama menantikan album ini kerana sudah enam tahun saya tidak muncul dengan sebarang album.
"Mungkin juga lagu-lagu yang ada dalam album ini memenuhi cita rasa mereka,” katanya.
Selain menjadi trending, album Dayang Nurfaizah turut menjuarai carta iTunes dan top 10 Spotify Malaysia serta mendapat sambutan luar biasa di Singapura dan Brunei.
Album ke lapan yang memuatkan tujuh buah lagu itu turut dicetak buat kali ketiga sejak ia dilancarkan pada Sabtu lalu.
“Saya macam tak percaya 1,000 salinan pertama habis dijual dalam masa satu hari ia dilancarkan. Cetakan kedua sebanyak 1,000 salinan juga mendapat sambutan hangat daripada peminat.
“Pihak label juga sudah mencetak 1,000 lagi salinan selepas mendapat permintaan daripada peminat,” katanya pada sidang media pelancaran album Dayang Nurfaizah di Matic, Jalan Ampang petang Selasa.
Tambah penyanyi Lelaki Teragung ini, pihak pengurusannya, Indigital Music meletakkan sasaran menjual 6,000 salinan dalam tempoh enam bulan.
“Saya berharap agar album ini dapat melepasi sasaran dan jika dapat lebih daripada itu, ia satu bonus.
“Saya juga memandang sambutan yang diberikan terhadap album ini sebagai satu perkembangan yang bagus dan berharap ia berterusan,” katanya.
Foto: BH Online
Must-Watch Video