Barisan pemain badminton remaja negara mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan German Junior Open yang berakhir hujung minggu lalu.

Lebih membanggakan, mereka merupakan alumni Astro Kem Badminton (AKB) yang dianjurkan oleh Astro.

Jacky Kok Jing Hong, alumni AKB 2014 yang berasal dari Kedah muncul juara perseorangan lelaki selepas menewaskan Indonesia, Alvi Wijaya Chairullah dalam hanya 25 minit menerusi 'straight sets' 21-15, 21-15.



Dalam masa yang sama, seorang lagi alumni AKB 2014, Wan Arif Junaidi yang berpasangan dengan Muhammad Haikal Nazri meraih kejuaraan dalam kategori regu lelaki ke atas duoa Indonesia, Muhammad Rayhan Nur Fadillah-Rahmat Hidayat dalam tiga set 13-21, 21-18 dan 21-16.

Secara keseluruhan, German Junior Open menyaksikan pasukan remaja Malaysia meraih empat pingat apabila dua lagi pingat gangsa turut diraih oleh alumni AKB 2016, Justin Hoh dan juga dari gandingan Haikal-Low Yeen Yuan yang masing-masing terkandas di separuh akhir kategori perseorangan lelaki dan regu campuran.

Jacky, Arif dan Justin merupakan antara sembilan alumni AKB lain (Valeree Siow Zi Xuan, Cheng Su Hui, Myisha Mohd Khairul, Goh Boon Zhe, Tan Zhing Yi dan Muhd Fazriq Mohd Razif Sidek) yang bersama memperkuat 12 pemain remaja Malaysia yang bersaing di German Junior Open.



Sudah dimulakan semenjak November 2012, AKB merupakan jalinan kolaborasi antara Astro Kasih bersama Nippon Badminton Association (NBA) di Jepun serta disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM).


Lebih 16,000 kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun telah terlibat dengan AKB dalam pencarian bakat baharu sebagai pelapis skuad utama negara semenjak dari awal pemilihan sehingga ke peringkat seterusnya.


Mereka yang terpilih melalui beberapa siri program latihan komprehensif serta pengalaman permainan kompetetif di peringkat serantau dan antarabangsa.


Malah ketika ini, lebih 50 peratus iaitu 55 orang daripada keseluruhan 77 pemain dalam skuad remaja negara merupakan alumni AKB.