Penyanyi rap Alyph berpendapat tidak salah untuk menggunakan lirik berbaur lucah dalam mana-mana karya jika itu merupakan cara terbaik dalam menyampaikan mesej sesebuah lagu.

Alyph berkata berkemungkinan mesej asal yang ingin disampaikan oleh pencipta lagu itu tidak akan sampai kepada pendengar jika lirik yang dianggap lucah itu diubah.

Bagaimanapun, jelas Alyph, dia tidak menyokong jika lirik berbuar lucah digunakan hanya untuk tujuan meraih perhatian orang ramai.

“Kalau penulis itu jujur nak sampaikan mesej lagu dan kena pakai lirik yang lucah untuk sampaikan mesej tersebut, saya rasa perlu.

“Sebab jika ubah lirik itu risau mesejnya tidak akan sampai kepada pendengar. Melainkan tujuan penulis itu menggunakan lirik lucah untuk tujuan viral, itu saya tidak sokong.

“Kalau sengaja nak buat orang marah atau netizen komen, benda itu saya tidak suka, itu menjatuhkan nama Hip Hop dan Rap. Kami komuniti Hip Hop pangkah orang yang bertujuan sebegitu.

“Kalau ada isi, terpaksalah tabahkan diri dengan pendapat orang lain yang mungkin faham, mungkin tidak faham dan mungkin akan faham kelak, itulah muzik. Jika tiada perbincangan muzik tak akan berkembang.

“Rap ini bergantung pada kejujuran dan keikhlasan pada jalan cerita lagu. Cara nak sampaikan mesej itu, kami akan cuba apa sahaja untuk sampaikan mesejnya,” katanya.

Untuk info, Alyph baru sahaja melancarkan lagu terbaharunya berjudul Heat.

BACA SINI: Alyph Angkat Kisah Perjuang Hip-Hop Dalam Heat