Seorang penduduk di Kangar Perlis, Wahizi Wahab, 54, memilih untuk meneruskan amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut Ahad lalu.

Bagi mematuhi Tatacara Operasi Standard (SOP) kerajaan, Wahizi menggunakan joran pancing bagi menjaga jarak dan mengelakkan bersentuhan dengan tetamu yang hadir.

"Idea ini datang ketika saya nampak batang joran yang ada di rumah. Memandangkan sekarang adalah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dalam masa sama Hari Raya Aidilfitri, saya terfikir untuk menggunakan cara ini bagi menjaga penjarakkkan sosial.

"Mata kail saya gantikan dengan penyepit untuk saya sangkut sampul duit raya. Jadi, ia tidak membahayakan.

"Saya boleh menjarakkan diri 1 meter dan memberi duit raya kepada kanak-kanak. Dalam masa sama, saya telah menghiburkan hati kanak-kanak, takkan la mereka nak beraya kita nak suruh balik pulak," katanya kepada Gempak.

Tambah Wahizi, dia tidak menyangka video tersebut menjadi viral dan mendapat sambutan positif daripada penonton.

"Saya tak sangka nak tular sampai macam tu sekali. Saya sekadar nak berkongsi pada pengikut saya di Facebook (FB)," katanya lagi.



Perkongsian itu mendapat hampir 50,000 tontonan dan 300 komen.

Perlis merupakan satu-satunya negeri yang masih kekal sebagai zon hijau selepas Kelantan dan Kedah bertukar status menjadi zon kuning kerana merekodkan kes positif baharu Covid-19.