Tidak berapa lama dulu, seorang teman menulis perihal golongan selebriti popular yang mengambil anak angkat dan memberi kasih sepenuh jiwa seperti anak kandung sendiri.

Baca: Tatang Macam Anak Sendiri, Ini 8 Selebriti Popular Yang Menjaga Anak Angkat Penuh Kasih Sayang!

Kisah tersebut mengundang memori tersendiri apabila ibu bapa saya juga pernah mengambil anak angkat yang merupakan adik bungsu dalam keluarga. Jalan ceritanya sama, diberi kasih sayang tak berbelah bagi dan tidak ada bezanya dengan adik beradik yang lain.

Namun, sifat anak angkat itu sendiri berbeza kerana mereka seolah-olah dapat membaca bahawa mereka bukannya berasal dari darah daging yang sama. Ada seperti ruang kosong yang tidak dipenuhi dalam diri mereka.

Adik bungsu diberitahu tentang dirinya seawal usia lapan tahun. Tujuannya adalah untuk membolehkan dia faham biarpun sebagai anak angkat, tiada perbezaan dari semua segi dengan adik beradik yang lain. Perkara tersebut diterapkan sejak daripada kecil lagi.



Tidak ada buku yang khusus untuk membesarkan anak angkat kerana mereka mempunyai karakter yang berlainan dengan anak kandung sendiri.

Terdapat beberapa cabaran membesarkan anak angkat menurut perkongsian Profesor Dr Intan Hashimah, Pensyarah Psikologi dan juga Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri Komuniti, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

"Akan tiba waktunya apabila ada di antara mereka akan mengalami masalah harga diri dan identiti. Perkara yang kecil juga boleh menjadi besar apabila melibatkan adik beradik yang lain.

"Apabila mereka sudah matang untuk berfikir sendiri, anak-anak ini mungkin akan terkenang keluarga kandung dan mereka juga mungkin mengalami kesukaran menyesuaikan diri dengan keluarga angkat," Kata Profesor Dr Intan.



Namun begitu, ada beberapa garis panduan yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk membantu anak angkat memproses tentang diri mereka sendiri.

"Tidak ada cara betul atau cara yang salah. Yang ada cuba garis panduan kerana setiap individu mempunyai cara penerimaan yang berlainan.

"Sebagai ibu bapa, pastikan persekitaran keluarga penuh kasih sayang dan sokongan. Perkataan 'anak angkat' juga tidak harus digunakan dalam bentuk negatif seperti ejekan daripada adik beradik yang lain biarpun sekadar berjenaka," tambah Dr Intan.

Menurut beliau lagi, ibu bapa juga sebaiknya cuba mendapatkan maklumat keluarga kandung sebanyak mungkin untuk diterangkan kepada anak apabila mereka sudah mulai faham.



"Berterus teranglah bila mereka sudah pandai memahami. Berterus terang dari saat mereka masih kecil lebih baik kerana mereka akan mudah faham dan dapat melihat tidak ada beza layanan anak kandung dengan anak angkat.

"Ibu bapa juga perlu mengambil pendekatan terbuka tentang isu anak angkat dan paling penting, bersedia mendengar luahan mereka yang mungkin tidak sama dengan luahan hati anak sendiri," kata Dr Intan lagi.

Sebelum mengakhiri bicara, sekali lagi Dr Intan menegaskan bahawa tidak ada buku yang ditulis khas tentang anak angkat kerana semua mereka mempunyai sifat-sifat yang berbeza.

Kepekaan ibu bapa tentang sebarang tanda pada setiap anak perlu diberi perhatian yang penting untuk memastikan mereka tidak berasa tersisih atau tidak disayangi seperti selayaknya.

Nota: Gambar selebriti yang mempunyai anak angkat dan sekadar hiasan