Laman Utama
Ambil Berat Sesama Pekerja Industri Kreatif, Ramai Selebriti Sokong Kempen 'Apa Khabar Anak Seni?'
Sejak malam tadi, ramai selebriti tempatan berkongsi tentang kempen 'Apa Khabar Anak Seni' di platform media sosial masing-masing.
Kempen ini bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim dan bertanya kabar kepada pekerja Industri Kreatif (IK) terutamanya ketika pandemik COVID-19 sedang melanda ketika ini.
Selain itu, kempen ini mengambil maklum tentang keadaan pekerja IK dan bagaimana mereka menggunakan kemahiran skil kreatif masing-masing sewaktu pandemik disebabkan penutupan industri sekarang ini.
Kempen inisiatif Delegasi Anak Seni (DAS) ini juga merupakan satu tanggungjawab sosial sesama pekerja IK dalam terus menghidupkan industri melalui pendekatan di media sosial.
Ia juga dapat membantu usaha pekerja IK yang sedang menggunakan alternatif lain dalam memberikan servis skil kreatif mereka.
Antara selebriti yang telah menyebarkan kempen positif ini di media sosial adalah Sharifah Amani, Sherry Alhadad, Fatimah Abu Bakar, Jasmine Suraya dan ramai lagi.
Dalam perkongsian masing-masing, mereka bertanya kabar sesama anak seni dan memahami detik sukar yang dialami oleh ramai anak seni ketika ini.
"Kami nak geng geng anak seni untuk share karya atau apa apa yang kita buat ketika pandemik ini. Gunakan hashtag #ApaKhabarAnakSeni jadi kita semua boleh tengok hasil masing-masing.
"Mana tahu dengan cara ini kita dapat bantu dan naikkan semangat sama sama," kongsi Sharifah Amani di Instagram.
"Bagi siapa-siapa yang gaji kena potong, saya tahu ianya sukar, tapi bagi anak-anak seni, yang lagi menyedihkan, gaji kita bukan sahaja kena potong, tapi gaji langsung tidak masuk," kongsi Jasmine Suraya pula.
"Saya sihat Alhamdulillah, kadang kala okay kadang kala emosi naik turun. Di kesempatan ini, saya cuba isikan masa dengan kembali belajar. Mencari ilmu yang dahulunya tak punya waktu. Jadi setiap orang punya aktiviti yang berbeza, apa sahaja asalkan kita bahagia.
"Soalan yang sangat ringkas tapi mendalam maksudnya, "Apa Khabar?" Harapnya semua baik-baik sahaja. Insya-Allah kita akan terus berjuang bersama," kongsi Sherry Alhadad juga di Instagram.
Dengan kempen ini juga, DAS berharap agar ramai pekerja IK dapat berhubung sesama pekerja dan masyarakat, sekaligus menjadi platform dua hala sesama pekerja IK.
'Apa Khabar Anak Seni?' juga membuka ruang yang harmoni untuk pekerja IK menjaga kesejahteraan sesama sendiri serta menghasilkan produk kesenian sewaktu pandemik yang masih melanda negara.
Must-Watch Video