Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba pelakon dan pengacara Amelia Henderson dikatakan bakal mendirikan rumah tangga dengan teman istimewanya yang juga aktor Aedy Ashraf dalam masa terdekat.

Terkejut dengan gosip itu, Amelia bagaimanapun berkata dia terhibur dengan gosip tersebut memandangkan dirinya sendiri tidak tahu menahu mengenai pernikahan yang dikatakan bakal berlangsung.

"Saya kadang-kadang rasa terhibur dengan netizen. Apabila saya baca ada yang kata saya bakal kahwin dengan Aedy, saya macam 'eh aku tengah shooting sekarang'.

"Saya terkejut masa baca, berita itu pula ibu saya yang bagi. Kemudian saya hantar pada Aedy dan dia pun sama terkejut," kata Amelia kepada Gempak.

Amelia berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan drama One Million Dollar Voices yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson berkata dirinya selesa berkawan dengan Aedy selain menyifatkan aktor itu seorang yang sangat memahami.

"Mungkin ada yang tahu, kami berdua sangat rapat, kami ada fantastic relationship dari dulu sampai sekarang. Aedy seorang yang sangat memberi sokongan pada saya, bersyukur dia ada dalam kehidupan saya.

"Dalam ramai-ramai orang yang saya jumpa, dia sangat baik dan boleh memahami kedudukan saya," ujarnya.

BACA SINI: Amelia Henderson Menangis Dilabel Degil & Sombong - “Saya Tidak Mahu Menghancurkan Segala Yang…”

BACA SINI: “Saya Selesa Dengan Dia” - Aedy Serah Urusan Jodoh Pada Takdir, Syukur Ramai Doakan Baik-Baik