Anak kepada pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof, Zareef Yusof, 9, terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke lokasi penggambaran drama Mak Cun pagi tadi.

Memetik laporan mStar, Zareef menaiki kereta yang dipandu oleh ibu saudaranya dan bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

Perkara itu turut dikongsi oleh penerbit Erma Fatima di akaun Instagram miliknya.

"Zareef iaitu anak kepada Eizlan dan pemandunya ada dalam kenderaan semasa perjalanan ke set shooting Mak Cun di Kuala Selangor.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi dan kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan.

"Semasa kejadian saya juga dalam perjalanan dan terkejut melihat ada kemalangan dan tak sangka mereka yang berada dalam kenderaan itu," katanya kepada mStar.

Walaubagaimanapun, Erma memaklumkan semua mangsa terlibat dalam kemalangan itu selamat dan tidak mengalami kecederaan.

"Alhamdulillah semuanya selamat, tiada sebarang kecedaraan dan baik-baik sahaja.

"Bagaimanapun, mereka tetap dibawa ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut," tambahnya.

Difahamkan, Erma dan pihak produksinya akan meneruskan penggambaran drama terbabit kerana hari ini adalah hari terakhir penggambaran.

Sumber : mStar