Selepas muncul dengan single Sumpah pada tahun lalu, penyanyi berbakat yang sedang meningkat naik, Aina Abdul kini tampil dengan lagu terbaru berjudul Semalam.

Mengekalkan momentum sebagai 'singer-songwriter' yang mahu menyampaikan mesej dalam setiap karyanya, Aina mengangkat isu hubungan toksik dalam Semalam.

"Jika sebelum ini menerusi Sumpah, saya bawakan isu tekanan perasaan dan rasa kesal seseorang. Menerusi lagu Semalam pula, saya membawa tema perhubungan toksik.

"Perhubungan toksik dalam lagu Semalam saya perincikan kepada dua perkara iaitu penderaan mental dan keganasan domestik. Pastinya ada insan di luar sana yang melalui perhubungan toksik seperti itu.

"Saya mahu terus kekal menjadi komposer dan penulis yang mengangkat mesej dalam setiap karya. Biarpun sebelum ini percubaan saya menerusi Sumpah mendapat kecaman serta percikan kontroversi, ia tak melemahkan saya.

"Saya rasa kembali bersemangat kerana dalam setiap kecaman, ramai juga yang memberikan sokongan serta input positif. Alhamdulillah, saya rasa gembira dengan perkembangan terbabit," katanya.


Aina ditemui di majlis pelancaran single Semalam di The Majapahit, Mont Kiara pada Khamis.



Tambah naib juara Mentor Legend ini lagi, dia mengimpikan pula pentas Anugerah Juara Lagu yang akan datang.

"Di tempat yang sama pada tahun lalu, saya melancarkan lagu Sumpah dan menanam impian serupa, mahu melihat lagu terbabit ke pentas AJL.

"Syukur kepada Allah, hasrat saya tercapai. Impian saya untuk lagu Semalam juga serupa tetapi saya rasakan sedikit tekanan kerana saya takut single ini tak dapat dikenali seperti lagu Sumpah.

"Namun begitu, saya ketepikan perasaan terbabit kerana apa yang lebih penting, saya haruslah berusaha dengan sehabis baik mempromosikan lagu ini dan menyerlahkan bakat yang saya ada demi peminat yang selama ini tak berhenti menyokong," katanya lagi.

Single Semalam sudah berada di semua saluran muzik secara digital menerusi platform Spotify, Joox, Apple Music dan Deezer bermula 6 Mac dan lirik videonya juga boleh ditonton di laman YouTube.