Hiburan

Anugerah Jomovie 2018: Guang Dinobat Sebagai Filem Terbaik

gempak
Kamaruddin Razal
31/12/2018
13:36 MYT
Sponsor Banner
Anugerah Jomovie 2018: Guang Dinobat Sebagai Filem Terbaik
Bersempena dengan episod terakhir Jomovie 2018 yang bersiaran sebentar tadi, Anugerah Jomovie 2018 telah diadakan dengan jayanya.
Anugerah ini pertama kali diadakan untuk menghargai penggiat perfileman tempatan dan pemilihan dibuat oleh panel Jomovie sendiri bersama HLive!
Berikut merupakan senarai kategori dan pemenang Anugerah Jomovie 2018.
FILEM TERBAIK – GUANG
Daripada sebuah filem pendek, Guang dihasilkan dalam versi filem cereka sentuhan pengarah muda Quek Shio Chuan.
Ceritanya ringkas, tentang hubungan adik dan abang yang menderita penyakit austime tetapi berjaya menghambat emosi besar penonton dengan pembikinan produksi yang cemerlang.
Guang berjaya mengimbangi tuntutan seni dan komersial, juga melangkaui sempadan bahasa kerana filem ini sememangnya filem Malaysia.
Selain diterima baik di festival-festival antarabangsa, Guang juga membuatkan panel penilai ketawa dan menangis sepanjang tontonan.
Justeru, Guang dipilih sebagai pemenang Filem Terbaik Anugerah Jomovie 2018.
PENGARAH TERBAIK – DAIN SAID (DUKUN)
Meskipun Dukun dibikin 12 tahun lepas, look and feel filem ini masih sangat relevan untuk tontonan hari ini.
Ini menunjukkan pemikiran Dain yang sangat ke depan sebagai pengarah, juga ketelitiannya dalam menangani naskhah drama yang amat kontroversial.
Justeru, kami panel penilai memilih Dain sebagai Pengarah Terbaik Anugerah Jomovie.
Namun begitu, Dain tidak dapat hadir menerima anugerah kerana faktor kesihatan.
PELAKON LELAKI TERBAIK – HASNUL RAHMAT (POLIS EVO 2)
Jarang sekali watak antagonis diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, tapi ia dilihat dari sudut berbeza oleh panel penilai.
Pelbagai watak dan karakter telah dipersembahkan sepanjang tahun, tetapi semua itu tidak dapat menandingi kebencian yang nyata terhadap lakonan Hasnul Rahmat dalam Polis Evo 2.
Memegang karakter Hafsyam, Hasnul menunjukkan kecemerlangan sebagai 'villain' yang paling digeruni dengan begitu bersahaja.
PELAKON WANITA TERBAIK – DATIN SERI UMIE AIDA (DUKUN)
Tidak banyak karakter wanita dominan dalam filem tempatan, tapi watak Diana Dahlan dalam Dukun sememangnya mempunyai pesona yang tersendiri.
Melalui watak Diana Dahlan, kita dapat melihat kekuatan Umie Aida sebagai pelakon dalam kelasnya yang tersendiri.
Adalah menjadi satu kesalahan kalau Jomovie tidak mengiktiraf kehebatannya dan boleh dikatakan, Umie menang tanpa bertanding.
Namun begitu, Umie tak dapat hadir menerima anugerah kerana berada di luar negara.
ANUGERAH KHAS (SPECIAL MENTION) – PASKAL THE MOVIE
Jarang sekali sebuah filem bertemakan kenegaraan mendapat perhatian dan kutipan box-office sehebat PASKAL The Movie arahan Adrian Teh.
Mencecah kutipan RM30 juta, PASKAL The Movie bukan saja dilihat memenuhi citarasa komersial, tetapi juga sebuah filem yang dibikin dengan baik dan teliti.
Panel penilai mahu menghargai team produksi PASKAL The Movie atas keberanian dan kegigihan menghasilkan filem patriotik ini dengan Anugerah Khas (Special Mention) Anugerah Jomovie 2018.
Episod terakhir Jomovie 2018 bersiaran sebentar tadi (Isnin, 31 Disember 2018) pada jam 9 malam di Astro Citra, Citra HD, Ria dan Ria HD.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live