Aquarius, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Kelantan antara nama yang menjadi pilihan pelakon dan pengacara popular Neelofa.

Nama-nama berikut dipilih istimewa oleh Neelofa bersempena kehadiran koleksi lip-matte baharu menerusi kerjasama perdananya bersama ibu tercinta, Datin Noor Kartini Noor Mohammed menerusi Young & Glow X Neelofa.

Menampilkan enam rona berbeza, warna-warna memikat koleksi lip-matte ini dinamakan secara unik dan catchy sesuai mengikut sisi peribadinya sebagai usahawan dan anak seni.



Selain Aquarius, MRMSM dan Kelantan, tiga nama lain yang dipilih ialah Lotus, Tiga dan Nona.

“Lotus atau teratai merupakan maksud di sebalik nama saya sendiri. Walaupun ejaan asalnya, Nilufar membawa maksud teratai biru, namun, ia secara keseluruhan mewakili nama saya.

“MRSM pula merupakan tempat di mana saya menimba ilmu, iaitu MRSM Langkawi sementara Tiga pula mewakili status saya sebagai anak ketiga dalam keluarga,” ujar Neelofa.

Personaliti yang turut dikenali sebagai usahawan hijab ini turut menerangkan, nama Aquarius, Nona dan Kelantan dipilih kerana nilai sentimental yang ada pada ketiga-tiganya.

“Seperti semua sedia maklum, Aquarius merupakan zodiak kelahiran saya.

“Manakala penglibatan saya sebagai pengacara Nona pula dilihat telah berjaya memacu kerjaya seni dan bisnes sehingga ke hari ini.

“Untuk rona terakhir, saya memilih Kelantan memandangkan saya dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan,” katanya.

Mengenai kuantiti jualan koleksi lip-matte tersebut, Neelofa menjelaskan, 50,000 unit telah pun ditempah sebelum koleksi berkenaan dilancarkan pada Jumaat ini.

“Kami mengeluarkan lip-matte ini dalam kuantiti yang sangat terhad. Jika koleksi pertama ini habis, kami tidak akan mengulang edar.

“Hal ini kerana, kami akan mengeluarkan warna yang berbeza pada koleksi yang akan datang,” katanya lagi.