Astro Akhiri FY25 Dengan Pencapaian Kandungan, Pemulihan ADEX Suku Tahunan Dan Peningkatan Penstriman
Dalam tempoh 12 bulan sehingga Januari 2025, kandungan tempatan di Astro Malaysia Holdings Berhad terus berkembang maju menarik perhatian penonton dan menyumbang 79% daripada jumlah masa tontonan, meningkat daripada 64% pada lima tahun lalu.
Pencapaian ini sekali gus memperkukuh hubungan erat antara Astro dengan rakyat Malaysia serta peranannya sebagai peneraju pencerita atau penglipur lara negara.
Program ikonik, Gegar Vaganza S11 yang tiada tandingan selama 11 tahun terus memikat hati penonton sebagai rancangan TV No.1 di Malaysia. Program realiti nyanyian ini telah menarik lebih daripada 8.8 juta penonton TV serta meraih 1 bilion tontonan di TikTok.
Dalam kategori drama, ketiga-tiga drama TV utama hasil produksi Astro tahun ini , Andai Tiada Dia dinobatkan sebagai drama No.1 Malaysia. Siri ini telah menarik 7.7 juta penonton TV yang memukau peminat melalui jalan ceritanya berkisar tentang cinta, pengkhianatan dan rapuhnya ikatan perkahwinan.
Astro Originals terus mencatat prestasi cemerlang pada suku ini dengan Project: Exit dan Pasanga S2 masing-masing meraih 1.7 juta dan 7.1 juta strim di platform Astro. Project: Exit mengupas isu kesihatan mental dan konflik keluarga, manakala Pasanga S2 meneruskan kejayaan sebagai siri Tamil tempatan paling lama bersiaran dan paling banyak ditonton di Malaysia.
Penceritaan (storytelling) kami tidak hanya terbatas sekadar di rumah dan skrin peranti.
Pada tahun 2024, filem-filem terbitan kami mencatat kutipan luar biasa sebanyak RM121 juta di box office, menandakan pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 10%, sekali gus mengukuhkan pegangan pasaran kepada 71%. Kami turut terlibat dalam kesemua 5 filem Malaysia teratas pada tahun 2024.
Dengan kutipan kasar sebanyak RM60.5 juta di box office, Sheriff: Narko Integriti muncul sebagai juara layar perak tiada tandingan pada tahun 2024. Filem aksi thriller ini bukan sahaja mengatasi filem-filem gergasi Hollywood malah turut mengatasi kutipan Deadpool & Wolverine serta Godzilla x Kong: The New Empire.
Kahar: Kapla High Council, prekuel Project High Council yang dinanti-nantikan telah menamatkan tayangannya pada awal Disember dengan kutipan box office sebanyak RM13 juta. Sementara itu, Takluk: Lahad Datu, diinspirasikan dari insiden sebenar pencerobohan Lahad Datu, meraih kutipan luar biasa sebanyak RM27 juta.
Didasari gelombang kejayaan box office, Astro kini bersiap sedia untuk sesuatu yang lebih besar pada tahun 2025 iaitu Keluang Man Cinematic Universe.
Kisah adiwira ini bakal dipertonton pada Mei 2025 dengan tayangan perdana Keluang Man. Lebih dari sekadar sebuah perjalanan filem sinematik yang saling berkait, usaha berani ini menampilkan pentafsiran semula legenda komik Malaysia, sekali gus membuka laluan kepada dunia perfileman tempatan mampu berdiri megah di peringkat serantau dan global.
PERNIAGAAN DAN ADEX
Platform over-the-top (OTT) tempatan kami, sooka, kini berada di landasan kejayaan dengan mencatat pertumbuhan bagi FY25. Satu-satunya platform aplikasi kendiri di Malaysia yang menawarkan siaran langsung sukan bersama barisan kandungan menarik, sooka terus melakar kejayaan unik dalam pasaran.
Pengguna aktif bulanan (MAU) meningkat 13% YoY kepada 1.2 juta, manakala jumlah pelanggan berbayar berganda. Meskipun industri OTT menghadapi cabaran, sooka berjaya mengatasi jangkaan melalui penetapan harga kompetitif, pas jangka panjang, pilihan pembayaran digital diperluas, serta kerjasama strategik dengan 20 jenama terkemuka, termasuk syarikat telekomunikasi, gergasi e-dagang, bank, dan super app.
data.AI kini mengiktiraf sooka sebagai platform OTT yang berkembang paling pesat di Malaysia, mengatasi pesaing utama dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam lanskap penstriman.
Selari dengan pelan transformasi kami, Astro One diperkenalkan pada Disember dengan tiga pakej TV Berbayar baharu ringkas dan berpatutan.
Bermula pada harga menarik dan berpatutan RM49.99, setiap pakej menawarkan penambahan kandungan antarabangsa, serantau, vernakular dan Malaysia, serta akses kepada aplikasi penstriman popular dan pilihan jalur lebar fleksibel. Langkah strategik ini bertujuan mengembangkan pelanggan asas sambil mengambil kira kekangan kewangan yang dihadapi oleh isi rumah masa kini.
Perniagaan berkaitan kami terus menunjukkan momentum kukuh, dengan pendapatan Enterprise meningkat 10% dalam FY25. Pertumbuhan ini didorong oleh pakej fleksibel BIZone, memenuhi keperluan perniagaan pelbagai saiz dalam tahun bersejarah buat sukan. Dengan UEFA Euro 2024, Copa America 2024, dan Sukan Olimpik Paris 2024 menarik perhatian ramai, acara sukan utama ini telah memikat 15.4 juta penonton di Astro.
Sungguhpun berdepan persaingan sengit dan pemotongan harga agresif dalam pasaran jalur lebar, Astro Fibre berjaya mencatat pertumbuhan 7% bagi pelanggan asas pada FY25. Pencapaian ini membuktikan keupayaan kami untuk terus berkembang dan menawarkan pakej penyelesaian sambungan yang bernilai tinggi.
Hasil daripada barisan kandungan dan produk yang kukuh, syarikat mencatat pemulihan dalam perbelanjaan iklan (ADEX) yang meningkat sebanyak 17% QoQ kepada RM93 juta dalam Q4FY25.
Pemulihan ADEX berlaku secara menyeluruh di semua platform, terutamanya Digital (termasuk iklan bersasar) mencatat pertumbuhan 33% QoQ, ini mencerminkan keupayaan kami untuk menyesuaikan diri dan mencipta nilai untuk pengiklan sungguhpun berdepan cabaran pasaran.
KEWANGAN
Di sebalik kelembapan persekitaran ekonomi serta kewaspadaan pengguna dalam berbelanja, Astro mencatatkan hasil suku tahunan sebanyak RM766 juta (meningkat 2% QoQ), EBITDA sebanyak RM171 juta (meningkat 9% QoQ) dan PATAMI sebanyak RM11 juta. Tanpa mengambil kira keuntungan tukaran asing tidak direalisasi daripada liabiliti pajakan transponder, PATAMI ternormal berjumlah sebanyak RM13 juta (meningkat lebih 100% QoQ).
Bagi FY25, syarikat mencatat PATAMI sebanyak RM129 juta, manakala PATAMI ternormal berjumlah RM66 juta bagi keseluruhan tahun. Selain itu, Astro kekal menjana aliran tunai positif dengan aliran tunai bebas (FCF) sebanyak RM77 juta untuk suku ini dan RM509 juta untuk FY25.
PENCAPAIAN MEMERANGI CETAK ROMPAK
Di Astro, setiap kisah yang disiarkan merupakan satu perayaan kreativiti dan kerjasama. Namun di sebalik skrin, wujud satu ekosistem antara pencipta, bakat dan perniagaan yang bergantung dengan kesamarataan.
Dari 2023 hingga Januari 2025, Astro telah menghapus sebanyak 946,000 pautan haram merentasi laman web, media sosial, aplikasi mudah alih dan platform e-dagang, termasuk penutupan 360 kumpulan Telegram yang memiliki 11 juta pelanggan secara keseluruhan.
Sepanjang FY25, usaha penguatkuasaan kami membawa kepada tindakan undang-undang bernilai lebih RM1 juta, merangkumi kes sivil dan jenayah terhadap cetak rompak, penstriman haram dan perniagaan yang melanggari peraturan.
Pada Januari 2025, Astro berjaya memperoleh anugerah ganti rugi statutori kedua bernilai RM175,000 daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas sebuah kafe tempatan didapati bersalah melakukan pelanggaran hak cipta dengan mempertonton secara haram perlawanan English Premier League (EPL).
Usaha advokasi kami terus mendorong perbincangan bermakna terkait perlindungan kandungan. Kami konsisten menekankan risiko peranti penstriman haram, sejajar dengan kebimbangan industri yang lebih luas. Hasilnya, Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 telah diluluskan di Parlimen pada Disember 2024 dan digazetkan pada Februari 2025. Undang-undang ini memperkenalkan hukuman jenayah terhadap aktiviti penipuan yang melibatkan peranti haram.
Sebagai tambahan, Astro turut menganggotai pasukan petugas awam-swasta berprofil tinggi yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri bagi meneroka penubuhan entiti jenayah siber serantau, sekali gus memperkukuh tindakan rentas sempadan terhadap cetak rompak digital.
MEMPERKUKUH ESG
Komitmen Astro terhadap Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (ESG) kekal kukuh, menjadikan kami antara 1% teratas dalam syarikat media global seperti dinilai oleh FTSE Russell.
Melalui Astro Kem Badminton (AKB) dan Klinik STL, kami terus memberi bimbingan kepada bakat sukan muda. AKB telah melatih lebih 21,300 kanak-kanak di seluruh negara, termasuk 40 pemain kebangsaan, manakala Klinik STL dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia & Sukan menumpukan usaha untuk melahirkan generasi baharu atlet sepak takraw.
Bagi memperkukuh inisiatif ini, kami akan mengembangkan usaha akar umbi dalam FY26 melalui Klinik NSL dengan empat klinik bola jaring diperkenalkan di Lembah Klang dan Johor untuk mengasah bakat baharu.
Ketika banjir monsun teruk melanda pada akhir 2024, Astro segera menghulurkan bantuan dengan menyumbang RM1 juta kepada Tabung Bantuan Bencana Negara. Kami terus menggerakkan platform kami dalam pengumpulan dana dan berjaya mengumpulkan RM173,000 bagi mangsa banjir dan RM108,000 untuk bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Pada Februari 2025, cabang kebajikan kami, Yayasan Astro Kasih, telah menganugerahkan 13 biasiswa kepada pelajar B40 yang layak, sejajar dengan matlamat tiga tahun ESG. Selain itu, sesi Career Engagement turut diadakan untuk penerima biasiswa terdahulu, menawarkan panduan mengenai laluan kerjaya dan pembangunan profesional di Astro.
KENYATAAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF KUMPULAN - EUAN DARYL SMITH
“Di saat kami melabuhkan tirai FY25, jelas bahawa transformasi Astro didorong oleh kekuatan kandungan kami. Penceritaan yang menarik serta kejayaan kandungan tempatan bukan sahaja mengukuhkan keterlibatan penonton, tetapi juga mencatatkan statistik yang memberangsangkan.
Kami sedia mendengar dengan teliti kehendak pelanggan dan menyesuaikan tawaran kami bagi memenuhi keperluan mereka dan setakat ini maklum balasnya amat positif. Penambahan kasar pelanggan Pay TV meningkat 52% dalam FY25, tertinggi dalam tempoh empat tahun, menyumbang kepada pengurangan 84% dalam kehilangan bersih pelanggan video, satu pencapaian penting yang membuktikan strategi kami mula membuahkan hasil.
Salah satu pemacu utama perubahan ini ialah Astro One, yang diperkenalkan pada Disember 2024. Platform ini menawarkan cara baharu dan lebih ringkas untuk menikmati hiburan,7 dengan tiga pakej bernilai tinggi bermula serendah RM50. Melalui pakej ini, pelanggan boleh mengakses sehingga 14 aplikasi penstriman global, yang disepadukan dalam U-Box kami. Kami juga berbesar hati melancarkan Amazon Prime pada bulan depan, yang akan diikat dengan pakej terpilih, menambah lebih nilai tanpa kos tambahan kepada pelanggan.
Pada masa yang sama, kami berbesar hati melihat sooka kini mencipta gelombang sebagai platform OTT paling pesat berkembang di Malaysia, dengan jumlah pelanggan VIP berbayar meningkat dua kali ganda dan pengguna aktif bulanan melebihi 1 juta, menurut data.AI. Walaupun pasaran OTT Malaysia agak lembap, sooka berjaya menonjol dengan strategi harga kompetitif, pilihan pas fleksibel, serta gabungan sukan eksklusif dan kandungan tempatan yang kukuh.
Bagi mewujudkan pengalaman penstriman lebih lancar, sooka kini hadir dengan pemuka baharu yang memudahkan pengguna mencari, meneroka dan menikmati kandungan kegemaran mereka di mana-mana saja dan pada bila-bila masa.
Kami turut melihat momentum positif dalam pengiklanan, terutamanya dalam segmen digital. Pelbagai jenama terus beri kepercayaan kepada kami dalam menyediakan penyelesaian pengiklanan yang berimpak tinggi dan bersasar. Dari segi kandungan, kami terus menetapkan penanda aras; produksi sinematik kami merupakan peneraju box office tempatan, sekali lagi memperkukuh peranan Astro sebagai hub pencerita atau penglipur lara Malaysia.
Selain kandungan dan penstriman, segmen jalur lebar dan perusahaan (enterprise) turut mencatatkan pertumbuhan, menyokong usaha kami dalam memperkukuh daya tahan dan kepelbagaian.
Sudah tentu, cabaran global dan tempatan masih berliku bagi industri ini, namun kami tetap bergerak ke hadapan. Fokus utama kami kekal jelas: (i) menarik ramai pelanggan baharu, (ii) memperkukuh perniagaan berkaitan, dan (iii) mengurangkan kos legasi. Tiga tonggak ini menjadi panduan kami dalam FY26 sedang kami terus membentuk Astro sebagai destinasi hiburan dan penstriman No.1 di Malaysia.”
Sumber: Astro AWANI