Penampilan Ara Johari sebagai Puteri Jawa menerusi single terbarunya ‘Sumpahan Salju’ mendapat pujian ramai.

‘Sumpahan Salju’ ciptaan Ziin dan lirik oleh Jerry terbitan Rocketfuel Entertainment menampilkan muzik tradisional jawa yang dimodenkan.

“Pertama kali mendengar ‘material’ baru daripada abang Zimi (Ziin), saya terus terpikat dengan melodi Sumpahan Salju yang memaparkan muzik tradisional Jawa yang dimodenkan.

“Setelah itu, kami memulakan sesi rakaman dalam kadar yang agak pantas, ia mengambil tempoh kurang dari tiga jam sahaja, manakala selebihnya abang Zimi yang bertanggungjawab melakukan proses adunan bagi mempercantikkan lagi bunyi lagu tersebut,” katanya.

Muzik video Sumpahan Salju turut mendapat pujian peminat yang suka dengan kelainan ditampilkan single ini.

“Sangat wow!!! Lagu ni deserve more views...entah bila orang kita ni nak support karya seni tanpa melihat popularity artis or hype lagu viral je.....lambat lagi agaknya...apa-apapun terima kasih buat komposer, penulis lirik, ara & seluruh team yg terlibat dalam lagu ni......sangat lit!!!!”

“Concept MV yang cantik dan penuh dengan budaya nusantara!”

“Penyusunan muzik sangat menarik, elemen kemelayuan juga diletakkan. Harap terbitkan lagi lagu melayu untuk Pendengar di Malaysia.”

“Gila gila. Aku macam dah kena sumpah untuk dengar lagu ni berulangkali. Melody memang catchy dengan gabungan pelbagai elemen. Lirik yang sangat mendalam. MV yang boleh buat kitorang enjoy dengan choreography yang nice. Mantap Ara, tak pernah mengecewakan.”

Antara komen positif ditinggalkan peminat pada lagu berkenaan di laman sosial Youtube Rocketfuel Network.



Dalam perkembangan lain Ara juga sibuk menguruskan perniagaan masakan miliknya, Ara Kitchen.

“Walaupun sibuk, saya masih lagi memperuntukkan waktu untuk merakamkan lagu baharu kerana bidang nyanyian adalah keutamaan.

“Alhamdulillah perniagaan saya semakin berkembang dengan tertubuhnya cawangan di Klang, tidak menang tangan dibuatnya,” ujar Ara.

Lagu Sumpahan Salju boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.