Penyanyi dan cef popular, Datuk Fazley menegur segelintir penggiat seni, terutama artis baharu yang dilihat menggunakan pendekatan yang salah dalam berurusan dengan pihak media.

Fazley berkata, seseorang artis itu tidak perlu tahu cara untuk mengendalikan (handle) media, sebalik mereka perlulah pandai mengemudi karier masing-masing.

“Saya sudah bergelar artis sejak usia 17 tahun lagi. Saya sudah lalui banyak lapisan media dan melihat jatuh bangun artis kerana media.

“Artis muda selalu tanya saya, macam mana saya handle media? Saya jawab yang bukan kita mengendalikan media tetapi kita yang harus kendalikan diri kita sendiri,” katanya kepada Gempak.

Fazley ditemui pada showcase Yang Sedang Sedang Saja yang berlangsung di Suka Sucre Bistro, Hartamas, Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, Fazley menjelaskan yang untuk menjadi artis yang bagus, seseorang itu perlulah menjadi ‘media savvy’.

“Bagi saya, seseorang artis itu perlu bijak berhadapan dengan media. Kalau media bagi komen, terima. Kalau tak suka artikel yang media tulis, jangan kutuk di media sosial.

“Saya lihat, artis baharu sering share artikel yang tak disukai di media sosial dan kutuk media, that’s not right

“Prinsip saya mudah, kalau wartawan baik dengan kita, kita boleh discuss benda yang kita tak nak keluar. Dalam masa sama, kalau wartawan tulis artikel yang bagus, kamu patut cari wartawan itu, call dia ucap terima kasih, bukan sekadar post di IG sahaja.

“Begitu juga jika kamu rasa artikel itu kurang baik, boleh call dan berbincang untuk terbitkan satu lagi artikel yang lain,” katanya yang turut mengendalikan kelas artis dan media secara tertutup.

Melanjutkan bicara mengenai showcasenya, Fazley berkata, dia menganjurkan persembahan berskala kecil itu kerana mahu mengotakan janjinya terhadap peminat ketika dia masih menyertai program Gegar Vaganza 8 (GV8) baru-baru ini.

“Ketika masih berentap dalam GV8, ramai yang bertanya kepada saya tidak mahu buat showcase ke. Sebab bagi mereka, GV8 adalah pertandingan dan mereka mahu lihat saya menyanyi dalam persembahan lain.

“Saya pun berjanji untuk buat showcase selepas tamat pertandingan. Untuk mengotakan janji, saya pun buat showcase Yang Sedang Sedang Saja khas untuk peminat.

“Selain menyambut kedatangan 2022, showcase ini dianjurkan untuk memberitahu orang ramai yang saya merupakan seorang Singing Master Chef.

“Dalam masa yang sama, ketika persembahan, saya juga menghidangkan penonton dengan hidangan-hidangan menarik yang saya rasa sesuai untuk tema persembahan saya itu,” katanya.

Menerusi persembahan tersebut, Fazley membawakan 22 buah lagu. Antaranya Bila April, Beautiful Maria, Luluh dan Yang Sedang Sedang Saja.