Menceburkan diri dalam badminton semenjak usianya tujuh tahun, Ng Weng Xi mula menguasai sukan itu dua tahun kemudian.

"Saya bermula ketika berada di darjah satu persekolahan. Latar belakang keluarga saya menjadi pendorong kerana mereka juga terlibat dengan sukan badminton serta bola tampar.



"Ketika saya berusia sembilan tahun, barulah saya mendapat rentak dan menyertai pelbagai pertandingan. Saya mewakili sekolah sehingga ke peringkat negeri dan itu membuatkan saya lebih bersemangat.

"Tidak sukar untuk saya bahagikan masa kerana sudah terbiasa. Pada waktu siang, saya belajar dan waktu malam pula diperuntukkan dengan latihan," kata pelajar tahun enam SJK (C) Kuang Hwa, Kuantan ini.

Kanak-kanak itu ditemui ketika latihan intensif selama seminggu anjuran Astro Kem Badminton pada penghujung Ogos sehingga awal September lalu.




Menerusi latihan intensif yang turut disertai oleh pelajar dan pemain badminton cilik Jepun, Ng Weng Xi mengakui latihan terbabit sedikit meletihkan.

"Berbanding suasana latihan biasa, latihan intensif bersama pelajar dan pemain badminton cilik Jepun ini sedikit berbeza... Ia agak meletihkan serta memenatkan.

"Namun begitu, saya seronok kerana dapat belajar perkara baru. Selain belajar mengenai pemerhatian saya terhadap corak permainan mereka, saya juga belajar budaya masyarakat Jepun," katanya lagi.




Ng Weng Xi merupakan antara 30 peserta terpilih dari 60 penyertaan di program latihan intensif ini untuk menyertai latihan luar negara di Jepun pada penghujung tahun ini.

Semenjak tahun 2017, Astro Kem Badminton menjalin kolaborasi antara Astro Kasih dan Kementerian Pendidikan Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Nippon Badminton Association di Jepun.

Di bawah seliaan jurulatih kebangsaan Jepun, Park Joo-Bong, peserta yang terpilih akan menyertai latihan selama dua minggu di Jepun pada penghujung tahun ini bersama Japan National Junior Team.