Hiburan
Atlet Sensasi Korea Selatan, Kim Ye-Ji Berlakon Jadi Pembunuh Upahan, 2 Pelakon Malaysia Terbabit Sama!
Penembak wanita Korea Selatan, Kim Ye-Ji kini bukan hanya seorang atlet yang hangat selepas aksi bersahaja dan berkarisma sewaktu bertanding di Olimpik Paris 2024 tular di internet.
Ye-ji kini seperti hampir merealisasikan ‘hajat’ ramai peminat apabila tampil pertama kali sebagai pelakon.
Dan wanita berusia 32 tahun itu memainkan watak pembunuh upahan seperti yang ‘diminta’ orang ramai.
Atlet tersebut membintangi sebuah filem berjudul Crush yang merupakan siri pendek untuk projek global, Asia. Filem tersebut diarahkan oleh sutradara dari Korea Selatan menerusi syarikat hiburan Asia Lab.
Pihak agensi Ye-ji mengatakan atlet tersebut teruja namun berdebar untuk membawakan watak pembunuh upahan dalam filem tersebut dengan baik sementelah dia akan berganding dengan ramai pelakon hebat dari seluruh Asia, lapor Korea JoongAng Daily.
Projek filem spin off yang masih dalam pembikinan ini akan menyaksikan Ye-ji berganding dengan pempengaruh Korea Selatan, Sen sebagai pembunuh upahan.
Lebih menarik, Crush turut dibintangi oleh para pelakon hebat dari negara Asia lain.
Malah membanggakan apabila dua pelakon dari Malaysia turut terlibat dalam filem arahan Lee Jung-sub ini.
Mereka adalah Daiyan Trisha dan Sean Lee. Daiyan dan Sean akan bergabung dengan bintang dari Thailand iaitu Pakorn Chatborrirak, aktor India, Anushka Sen serta pelakon Korea Selatan, Jang Yoon-young.
Terdahulu Ye-ji yang memenangi pingat perak dalam Olimpik Paris 2024 selepas aksinya menembak dengan tenang, tangan masuk di poket dan sangat dalam karakter menjadi tular di internet.
Sejak itu ramai yang mahu melihat dia membawa watak pembunuh upahan.
Malah sejak tular, Ye-ji juga mula menerima banyak tawaran dalam bidang komersial sehingga dia memilih bernaung di bawah agensi Plfil untuk mengembangkan sayapnya dalam bidang seni.
Must-Watch Video