Menggalas tanggungjawab selaku ketua juri di All Together Now Malaysia (ATNMY) tentunya bukan perkara mudah buat selebriti terkenal, Dato' AC Mizal (DAC).

Setiap kali berlakunya markah seri antara peserta yang perlu menduduki tiga kerusi di podium, beliau harus membuat keputusan yang tepat dan adil.

Justeru, DAC mengambil kira beberapa aspek penting yang ditonjolkan oleh setiap peserta.

"Jika berlaku pemarkahan yang sama, saya akan bertindak melihat peserta mana yang ada kelemahan, dan jika gagal juga, saya akan bertindak seperti sebuah syarikat rakaman, saya fikir artis mana yang saya mahu, genre mana yang boleh dibawa dengan baik dan genre mana yang orang nak dengar.

"Maksudnya tindakan itu adalah dari segi bisnes dan kreativiti, nilai komersial yang dilihat itu bukanlah dari segi rupa yang cantik atau segak, tetapi tentang tone atau suara yang jarang-jarang didengar dalam industri muzik.

"Contohnya dahulu, pernah ramai orang mahu suara seakan Datuk Seri Siti Nurhaliza, jadi saya tak akan pilih orang sebegitu, seseorang itu haruslah ada nilai komersial dan mempunyai kelainan daripada orang lain," katanya kepada Gempak.

Mengulas prestasi peserta di konsert minggu kedua secara keseluruhan, DAC melihat rata-rata peserta mempunyai kebolehan untuk menyanyi selain ramai telah memilih lagu yang sesuai.

"Dari segi persembahan, kesemuanya bagus sebab rata-rata mereka, 70 ke 80 peratus daripada peserta telah memilih lagu yang betul untuk disampaikan di atas pentas, itu amat penting sekali.

"Bukan setakat dengar vokal dan sebagainya, apabila mereka memilih lagu yang betul. persembahan akan menyerlah," katanya lagi.

Apapun, tahniah dan syabas kepada semua peserta yang telah menyertai ATNMY yang hadir dengan pelbagai latar belakang dan kisah yang mencetus inspirasi, malah ada juga yang menyentuh hati.

Saksikan ATNMY pada setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Untuk menonton video dan info menarik, anda boleh melayari www.gempak.com.