“Saya ingin mendedikasikan kemenangan ini kepada ayah saya, Wally.

“Saya dah cakap yang saya akan mendapatkan pekerjaan,” itulah antara ucapan aktres Awkwafina yang mencipta sejarah sebagai pelakon berdarah Asia pertama yang memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Terbaik - Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe 2020 di sini, lapor Astro Awani.

Anugerah yang dimenanginya itu juga menjadi kemenangan tunggal bagi filem The Farewell yang mana beliau memegang watak berketurunan Cina-Amerika yang bergelut dengan identiti budayanya semasa ingin melindungi neneknya (Zhao Shuzhen).

Filem The Farewell itu juga berdasarkan daripada kisah sebenar dan hasil daripada itu, Awkwafina menewaskan nama besar lain yang turut disenaraikan iaitu Cate Blanchett, Emma Thompson, Beanie Feldstein dan Ana de Armas.

Awkwafina atau nama sebenarnya, Nora Lum turut menzahirkan rasa gugup dan terkejut di atas kemenangannya itu dan sempat berterima kasih dan menunjukkan rasa penghargaan terhadap neneknya, yang juga disifatkan sebagai kawan baiknya kerana telah membesarkannya.

Sewaktu ucapan penerimaannya, Awkwafina juga tidak terlepas mengucapkan terima kasih kepada pengarah The Farewell, Lulu Wang atas 'peluang sekali seumur hidup'.

Beliau kemudian mengucapkan terima kasih kepada keluarganya, termasuk ibunya, yang meninggal dunia semasa beliau masih kecil.

Awkwafina yang dilahirkan di New York, Amerika Syarikat (AS) itu meraih populariti menerusi filem Crazy Rich Asians yang turut dibintangi oleh beberapa bintang kelahiran Malaysia iaitu Tan Sri Michelle Yeoh dan Henry Golding.

Manakala, bagi Pelakon Filem Lelaki Terbaik – Muzikal/ Komedi dinobatkan kepada taron Egerton menerusi filem Rocketman sekali gus menewaskan nama-nama besar seperti Daniel Craig, Roman Griffin Davis, Leonardo DiCaprio dan Eddie Murphy.

Filem Joker yang disebut-sebut mampu merebut anugerah utama tidak pulang dengan tangan kosong. Watak supervillain ternama di kota fiksyen Gotham City yang dilakonkan aktor Joaquin Phoenix, berjaya menobatkannya sebagai Pelakon Filem Lelaki Terbaik.

Dalam pada itu, filem arahan Todd Philips itu menang kategori Skor Muzik Terbaik.

Sumber: Astro Awani