Terkesan dengan situasi semasa pandemik COVID-19, pelawak Azlee Senario mengambil inisiatif menjalankan perniagaan menjual buah buahan untuk menampung pendapatan keluarga.

Berita itu mula tersebar selepas foto Azlee sedang duduk sambil menunggu pelanggan menjadi tular di media sosial.

Menerusi beberapa ciapan netizen, mereka meminta orang ramai untuk membantu Azlee dengan membeli hasil jualannya di tapak pasar malam di Saujana Utama, Sungai Buloh.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha Azlee, kini sudah ramai yang mula membeli buah-buahan yang dijualnya.

Selain itu, mereka juga turut memuji Azlee kerana tidak malu mencari rezeki dan menyukai sikap mesra dan tidak sombong pelakon veteran itu.

Untuk info, Azlee atau nama sebenarnya Azlee Jaafar mula mencipta nama bersama kumpulan komedi Senario pada era 1990-an.

Antara babak terkenal Azlee dalam filem Senario The Movie yang masih lagi menjadi sebutan sehingga kini adalah wataknya sebagai seorang pemuda terencat akal.

Lakonan Azlee sebagai pengusaha warung roti canai dalam filem Lagi-Lagi Senario (2001) juga masih lagi diingati hingga ke hari ini.