Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memulangkan semula kereta rasmi digunakan kepada kerajaan negeri selepas selesai Istiadat Pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Perkara itu dikongsikan oleh Azmin menerusi status akaun Facebook miliknya kira-kira jam 1 tengahari dan turut memuat naik gambar beliau dan exco di sisi kenderaan masing-masing.

"Selesai Istiadat Pembubaran Dewan Negeri Selangor, saya dan Exco kerajaan negeri serah kenderaan rasmi kepada Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor,"katanya.

Difahamkan, Mohamed Azmin kemudian terpaksa memesan khidmat perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi untuk pulang ke rumah.

Status pengumuman itu menerima pelbagai reaksi dan ratusan perkongsian netizen.

Rata-rata pengikut mengucapkan terima kasih kepada Azmin kerana menjalankan tanggunjawab yang diberikan dengan baik dan mereka berharap agar dia akan terus mentadbir negeri itu.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan tarikh pembubaran parlimen iaitu pada 7 April 2018.

Untuk perkembangan lain, jangan lupa untuk menyaksikan Astro Awani (Saluran 501) untuk mengetahui berita terkini mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).