Berita
Bahaya COVID-19, Seorang Pesakit Potensi Sebarkan Kepada 59,000 Orang
Seorang doktor di United Kingdom (UK) mendedahkan bahawa seorang pesakit COVID-19 berpotensi menyebarkan virus itu kepada 59,000 individu yang lain.
Dr Hugh Montgomery, seorang profesor perubatan di University College London, mendakwa COVID-19 adalah tiga kali lebih mudah berjangkit daripada selesema biasa.
"Virus COVID-19 sangat mudah berjangkit, setiap seorang yang mempunyai virus itu akan menjangkiti tiga yang lain.
"Tiga mungkin bukan jumlah yang besar pada kita, tetapi jika tiga orang ini menjangkiti yang lain pula, dan berterusan begitu, individu pertama itu boleh menyebabkan jangkitan kepada 59,000 orang," katanya kepada portal Metro UK.
Dr Montgomery juga memberi amaran kepada mereka yang mengabaikan langkah penjarakan sosial atau arahan duduk di rumah.
"Saya tak main-main, keadaan akan menjadi semakin teruk jika orang ramai tidak mengendahkan arahan.
"Jika anda fikir, tak mengapa jika anda dijangkiti, saya mahu beritahu sesuatu, ini bukan tentang anda.
"Anda bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kehidupan orang lain," tambahnya.
Terdapat 8,077 kes disahkan Covid-19 setakat ini di UK dengan 422 kematian, dan telah mengeluarkan perintah kawalan pergerakan seperti Malaysia.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video