Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bakal Calon SPM Hadapi 63 Pertuduhan Amang Seksual, Pornografi Kanak-Kanak

Gempak
18/11/2024 04:50 MYT
Bakal calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sebuah sekolah menengah di Sri Gading, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor, pada Ahad, atas 63 pertuduhan amang seksual bukan fizikal termasuk memiliki video pornografi kanak-kanak.

Tertuduh berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

BERITA TRENDING: PU Azman Dipenjara 24 Tahun, Dua Sebatan

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-62, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tujuh pelajar junior lelaki dengan meminta mangsa menunjukkan tubuh supaya dilihat oleh tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan antaranya tandas surau dan sekolah serta rumah mangsa dalam daerah ini, Kluang dan Tangkak.

Kesemua kejadian itu berlaku antara jam 10 pagi hingga 11 malam, bermula Disember 2023 hingga hujung bulan lalu membabitkan mangsa berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-dua, bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

BERITA TRENDING: “Janganlah Sesuka Hati Pegang Anak Orang, Minta Izin Dulu” – Erra Fazira

Bagi pertuduhan ke-63, dia didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak dalam komputer riba di sebuah rumah pada jam 2.30 pagi, 11 November lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 AKKSTKK dan boleh dipenjara selama lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh menjadi 'pengarah' dengan meminta mangsa melakukan aksi tidak senonoh sambil merakamnya.

Selepas selesai melakukan aksi itu, semua mangsa diminta menyerahkan rakaman video terbabit kepada mangsa.

Kejadian itu berlaku beberapa kali malah ada pelajar diminta membuat aksi itu sehingga 12 kali. Mangsa pernah mengadukan hal terbabit kepada pihak pengurusan sekolah namun tiada tindakan diambil.

Mangsa juga diminta oleh tertuduh mengulangi perkara sama, serta diugut untuk disebarkan video atau menyerahkan wang jika enggan menuruti arahannya.

BERITA TRENDING: 'Adik Dengar Kakak Cakap "Tak Nak" Dalam Bilik Air'

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Razak Shariff.

Susulan pengakuan tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan, mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula serta serahan dokumen.

BERITA TRENDING: Pelajar Tingkatan 2 Hamil Dirogol Sepupu Ketika Hari Keluarga

Pada masa sama, mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan agar tidak boleh mengganggu saksi atau mangsa sehingga kes selesai.

Sumber: Harian Metro
#Viral #Mahkamah #SPM #Jenayah #Johor #Kanak-Kanak #Batu Pahat #Remaja #Pornografi #Amang Seksual #Calon
;