Berita
Bapa Sanggup Jadi Pikachu Demi Selamatkan Nyawa Anak
Seorang bapa telah berkorban masa sejak beberapa minggu lalu di sebuah stesen kereta api bawah tanah di Beijing, memakai kostum Pikachu.
Bapa muda tersebut bertindak sedemikian kerana mahu mengumpul wang bagi membayar kos perubatan anaknya.
Liu Yuehu, 24, memaklumkan anaknya yang berusia satu tahun, sedang menghidap penyakit leukemia.
Pihak hospital pula telah memaklumkan kepadanya harapan untuk anaknya pulih hanyalah 70 peratus dan menelan kos rawatan yang tinggi.
Dia yang tidak mahu berputus asa bagi membantu anaknya itu tekad untuk mencari wang dan jalan penyelesaian bagi masalah tersebut.
Liu yang bekerja sebagai buruh binaan terpaksa berhenti kerja kerana dia hanya akan memperoleh gajinya pada hujung tahun sedangkan dia memerlukan wang dengan kadar segera.
Bagi menampung beban kos perubatan anaknya, Liu dikatakan telah membelanjakan 160,000 yuan (RM102,000) dan telah meminjam wang daripada rakan dan anggota keluarga.
Bil rawatan anaknya juga mencecah 3,000 yuan (RM1,920) sehari.
Akhirnya, Liu mengambil keputusan untuk membeli kostum Pikachu dan sejak itu, dia sentiasa berada di stesen kereta api bawah tanah dengan memakai kostum tersebut.
Selain berpakaian sebegitu, dia turut menulis di sebuah kadbod tentang tujuannya berpakaian sedemikian.
Masalah yang ditanggung Liu mendapat perhatian orang ramai yang lalu di kawasan tersebut, dan dia berjaya mengumpul 13,000 yuan (RM8,300) sejak tiga minggu lalu.
Sumber : Harian Metro
Olahan : Izzat Ridzwan
Must-Watch Video