Penyanyi dan Juara Ceria Popstar musim ke-2, Masya Masyitah bakal membawa nama Malaysia untuk menyertai sebuah program realiti di China iaitu Ming Re Zhi Xing yang membawa maksud Next Star Coming Up.

Menurut Masya, dia tidak sangka apabila dirinya dipilih sebagai peserta program tersebut dan akan berangkat ke sana pada bulan depan.

"Saya sebenarnya secara kebetulan menyertai uji bakat itu ketika berada di sana untuk menjayakan sebuah penggambaran drama pendek.

"Tak sagka apabila saya dipilih untuk menyertai program ini dan saya akan berangkat ke China bulan depan tetapi tarikhnya saya belum tahu lagi.

"Saya akan ke sana seorang diri tanpa ditemani ibu kerana program tersebut formatnya lebih kurang seperti Akademi Fantasia.

"Jadi saya harus tinggal disana untuk seketika waktu dan saya akan buktikan bahawa wanita berhijab pun boleh pergi jauh," katanya kepada Gempak.

Masya berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Rocketfuel Entertainment, di The Bee, Publika, Kuala Lumpur, baru-baru ini.