Hiburan
"Bayangkan Jenazah Diperlakukan Begitu!" - Yuni Shara Sedih Masyarakat Tak Terima Mayat Pesakit COVID-19
Penyanyi Indonesia, Yuni Shara berasa kesal dengan tindakan segelintir masyarakat yang tidak mahu jenazah pesakit COVID-19 dikebumikan di kawasan tempat tinggal mereka.
Memetik laporan Grid.ID, Yuni dan beberapa artis di negara jiran itu turut berasa sedih dengan perkara itu.
Menurut adik kepada Krisdayanti itu, pesakit COVID-19 sudahpun mengalami nasib malang ketika menghidap penyakit itu. Justeru, mereka tidak harus diperlakukan sebegitu apabila sudah meninggal dunia.
"Pesakit COVID-19 sudah menderita, mereka sudah bersendirian, dikuarantin dan tidak bertemu ahli keluarga.
"Sedangkan tinggal berjauhan dengan keluarga sudah sangat menyedihkan, bayangkan jika jenazah mereka diperlakukan begitu, cukup kasihan," katanya.
Dalam pada itu, Yuni juga memohon kepada sesiapa yang terlibat agar menghentikan tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu.
"Saya mohon jangan lakukan perkara itu lagi, kerana ia amat menyakitkan dan menambah kepertian keluarga yang terlibat," tambah Yuni.
Terdahulu, sebuah video menunjukkan penduduk kampung di Indonesia enggan menerima jenazah pesakit COVID-19 dikebumikan di kawasan mereka.
Perkara itu mendapat perhatian dari netizen di Indonesia mahupun di Malaysia.
Seperti diketahui umum, proses pengebumian jenazah pesakit COVID-19 dilakukan oleh petugas kesihatan dengan mematuhi prosedur penjagaan kebersihan yang ketat dan selamat.
Sumber : Grid.ID
Must-Watch Video