Perkahwinan bintang terkenal Barbie Hsu dengan DJ Koo yang pernah menjadi kekasihnya 20 tahun lalu masih hangat diperkatakan.

Selain media dan peminat bercakap mengenai pendedahan perkahwinan mereka yang agak mengejutkan, nama bekas suami aktres tersebut, Wang Xiaofei ikut terseret sama.

Hal tersebut kerana Hsu dan Xiaofei baru rasmi bercerai beberapa bulan lalu selepas berkahwin selama 11 tahun.

Dia yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan artis wanita Zhang Yingying bercerai dengan Hsu selepas aktres tersebut memfailkan penceraian di mahkamah.

Tidak mahu kisah peribadinya terus disensasikan, usahawan tersebut akhirnya memberi kenyataan.

Xiaofei menjelaskan penceraiannya dengan Hsu bukan disebabkan oleh pihak ketiga.

“Penceraian kami tidak ada hubungannya dengan siapa pun. Setiap orang telah memulai hidup baru dan saya berharap Barbie Hsu bahagia," kata Wang Xiaofei.

Lelaki tersebut juga mengatakan baru ingin memberi kenyataan terhadap perkahwinan baharu bekas isterinya itu kerana tidak mahu kisah peribadi mereka menjadi ‘santapan’ masyarakat.

Menerusi kenyataan sama, Xiaofei menafikan dirinya curang sekaligus mempunyai hubungan sulit dengan Zhang Yingying, 25, sewaktu masih menjadi suami Hsu.

Terdahulu Hsu dan DJ Koo mengejutkan peminat kerana mengaku pernah menjadi pasangan kekasih pada zaman kegemilangan mereka lebih 20 tahun lalu. Namun percintaan mereka terkandas kerana ‘dihalang’ pihak pengurusan Koo.

Sebaik mendengar wanita idamannya telah bercerai, Koo cuba menghubungi Hsu menerusi nombor telefon yang dimilikinya 20 tahun lalu dan mereka kembali menjalin hubungan yang terputus sebelum mengambil keputusan berkahwin.