Hiburan
Belajar Dari Kesilapan, Aliff Aziz Tak Mahu Perlekehkan Rezeki
Meninggalkan siri kontroversi yang pernah dilaluinya sebagai lipatan sejarah, pelakon dan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz mengakui dia banyak belajar dari kesilapan.
Kini, Aliff lebih fokus dengan kerjaya seninya dalam bidang nyanyian serta lakonan.
"Saya banyak belajar, bukan hanya dari kontroversi yang melanda tetapi saya lihat semua perkara yang terjadi sepanjang kehidupan saya.
"Buat masa sekarang, saya sangat menghormati apa yang Tuhan berikan kepada saya selama ini. Saya tak mahu perlekehkan peluang atau rezeki yang ada," kata Aliff.
Diberikan kesempatan untuk membintangi beberapa drama bersiri dan memegang watak utama, Aliff tak mahu merungut penat walaupun jadualnya padat.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberikan peluang keemasan ini biarpun sebelum ini saya telah melalui pelbagai pahit manis dan kontroversi.
"Jika dahulu, pastinya akan terlintas kalau terlibat dengan sesebuah penggambaran, mesti akan timbul perasaan penat untuk bekerja dan menunggu di set.
"Jika difikirkan kembali, tak patut untuk saya rasa atau merungut sebegitu kerana itu semua rezeki yang telah diberikan oleh Allah. Saya harus hormatinya dan tidak memperlekehkan rezeki yang diberikan," katanya lagi.
Aksi Aliff sebagai Chef Idlan boleh disaksikan dalam drama bersiri Sejuta Rasa Buat Adelia yang sedang hangat disiarkan.
Dalam drama bersiri Sejuta Rasa Buat Adelia, Aliff bergandingan bersama Daiyan Trisha, Elvina Mohamad, Adam Lee, Vicha dan ramai lagi.
Jangan lupa saksikan Sejuta Rasa Buat Adelia di slot Megadrama setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Aliff
Must-Watch Video